PERPISAHAN. Satu aksara pendek yang membawa begitu banyak maksud tersirat dan membawa kesedihan.
Mengimbas kembali cerita lima tahun lalu, Ariz (bukan nama sebenar) pernah melayari bahtera perkahwinan dan lelaki itu dikurniakan jodoh yang cukup baik.
Menurutnya, sebelum dia bertemu dan bernikah dengan bekas isterinya, Betty (bukan nama sebenar), dia pernah beberapa kali gagal dalam hubungan percintaan kerana dirinya yang tidak pernah serius dalam hubungan.
“Jujur kata saya ini memang jenis lelaki tak tahu bersyukur. Sebelum bertemu dan bernikah dengan Betty juga, banyak kali saya melalui fasa percintaan dan semuanya gagal.
“Betty juga tahu perangai saya dan cukup ‘masak’ dengan saya. Mungkin disebabkan itu, dia sahaja wanita yang boleh menerima saya. Dia tetap terima saya seadanya,” katanya kepada K2.
Bercerita lanjut, Ariz yang bekerja sebagai pengarah kanan sebuah syarikat mengakui, zaman muda remajanya juga penuh dengan dosa ditambah dengan keluarga yang bermasalah.
Bapa dan arwah ibunya telah berpisah sejak dia berusia tiga tahun dan sejak itulah ibunya mengambil semua tanggungjawab menyara dia dan adik-beradiknya.
Setelah berkahwin, Ariz tetap mengikut nafsu dan perangai kaki perempuannya walaupun mengakui sayangkan isteri dan anak-anaknya.
Mengenai perceraiannya, ungkap Ariz, setelah bertahun-tahun curang, dirinya tiba-tiba dihantui rasa begitu bersalah kepada isteri dan anak-anaknya sehingga hampir ‘mental’. Mungkin ini balasan atas dosa-dosa yang telah dilakukannya.
Jelas lelaki berusia 35 tahun itu lagi, tatkala membaca kisah cerai dan hal-hal curang dalam rumah tangga di media sosial, dia pasti teringat dirinya juga.
“Lima tahun kami bersama dan lima tahun itu jugalah saya sakitkan hati isteri. Saya tak tahu jenis lelaki yang bagaimana saya ini.
“Tuhan dah berikan seorang bidadari yang begitu baik dan cukup sempurna di mata saya dan menerima segala baik buruk saya, tetapi tetap juga saya berlaku curang di belakangnya. Bertahun-tahun juga saya terus dengan perangai kaki perempuan saya.
“Saya ‘simpan’ dan ‘angkut’ wanita lain ke sana ke mari mengalahkan hidup seperti orang bujang,” ujarnya.
Akui Ariz, ada juga beberapa perbuatan ‘keji’ dan maksiatnya itu diketahui isteri, namun syurganya itu tidak pernah sekali pun memarahi apatah lagi meminta perpisahan melainkan sekadar menasihati berubah.
Kata anak jati kelahiran Selangor itu lagi, jika bukan Betty, pasti dia sudah berkelahi, diminta cerai selain dibawa ke pihak tertentu bagi menyelesaikan kes.
“Saya sendiri tidak tahu kenapa berkelakuan begitu. Saya akui saya memang jenis tidak setia dan kaki curang. Tapi saya sayangkan Betty dan tiga anak kami. Mereka pelengkap hidup saya dan sentiasa ada bersama saya walau apa berlaku sekali pun.
“Pernikahan kami seolah-olah tiada makna. Dulu saya janji untuk berubah dan tinggalkan semua benda curang serta maksiat dan sosial lepas kahwin.
“Tetapi lepas kahwin, bukan berubah tapi makin menjadi-jadi kelakuan saya ini. Adakah ini ujian yang Allah nak beri kepada saya?” soalnya.
Jelas Ariz, dia terus berlaku curang sampailah pada satu ketika, dia runsing dengan situasi dan dosa-dosa lampau yang sentiasa membayangi dan mengekori terutama apabila melihat isteri dan anak-anak di rumah yang tidak berhak terus dikhianati.
Katanya, tidak tahan dengan apa yang berlaku hingga membuatkan dirinya hampir mental dan terbeban dengan banyak lagi perkara lain, dia setelah berfikir masak-masak nekad untuk berpisah dengan isterinya.
“Bertahun saya hidup dalam dosa dan terkenang perbuatan lama dan diketahui isteri, saya jadi tidak sampai hati apabila berdepan dengan dia dan anak-anak. Saya terlalu rasa bersalah sehingga turut merasakan memutuskan ikatan suami isteri sebagai jalannya.
“Puas dan lama memikir masak-masak, saya nekad ceraikan isteri dengan talak satu.
“Paling memedihkan, dengan berani saya turut memberitahu isteri yang saya menceraikan dia selepas berlaku curang sebanyak 60 kali sejak kami disatukan sebagai pasangan yang halal,” luahnya.
Paling membuatkan dirinya sebak, isteri mengakui tidak pernah memberitahu sesiapa akan perbuatan Ariz termasuk ahli keluarga, memaafkan dan mendoakannya menemui bahagia.
Mengakui sedih perceraian yang menimpa, Ariz bagaimanapun tidak menyifatkan dirinya telah insaf daripada perangai kaki perempuannya, cuma dia menceraikan isterinya untuk menghilangkan beban rasa bersalahnya kepada wanita itu dan anak-anaknya.















