PUTRAJAYA – Pengawal keselamatan kilang Top Glove yang meninggal dunia akibat Covid-19 pada Sabtu lalu mengalami komplikasi paru-paru akibat jangkitan virus tersebut.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, lelaki warga Nepal berusia 29 tahun itu mendapat jangkitan bergejala susulan Covid-19 serta dimasukkan ke hospital.
“Memang benar ada kematian membabitkan pengawal keselamatan dari Nepal. Dia dimasukkan ke hospital pada peringkat lewat iaitu empat atau lima dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi.
“Lelaki tersebut diberikan rawatan sebaik mungkin tetapi meninggal dunia disebabkan komplikasi paru-paru daripada jangkitan Covid-19,” katanya pada sidang akhbar maya di Facebook Kementerian Kesihatan (KKM) di sini hari ini.
Kes kematian membabitkan lelaki tersebut dimaklumkan dalam kenyataan akhbar kelmarin dan dia meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh.
Menerusi laporan sebuah portal, pengawal keselamatan tersebut dikenali sebagai Yam Narayan Chaudhary bekerja di kilang syarikat itu di Meru, Klang dimasukkan ke hospital pada 21 November.
Laporan itu menyebut, Yam menjalani rawatan selama kira-kira tiga minggu sebelum meninggal dunia pada Sabtu lalu.
Dia dipercayai bekerja sebagai pengawal keselamatan selama dua tahun menerusi sebuah syarikat keselamatan. – K! ONLINE














