KOTA BHARU – Rata-rata penduduk negeri ini melahirkan rasa bimbang dengan kejadian tembakan dan rampasan melibatkan senjata api di Kelantan sejak kebelakangan ini.
Seorang penduduk, Nordin Yakob, 60, berkata, kemasukan senjata api ke negeri ini dilihat tetap berlaku meskipun pihak berkuasa memperketatkan kawalan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand.
Menurut Nordon, dia percaya kebanyakan mereka yang memesan senjata api seludup itu terdiri daripada individu yang terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah bagi tujuan mempertahankan diri.
“Saya lihat penggunaan senjata api di Kelantan menjadi perkara biasa. Apabila berlaku perselisihan faham, mereka ini tidak berfikir panjang untuk melepaskan tembakan.
“Saya sendiri pun rasa takut walaupun tidak mempunyai musuh. Saya bimbang mereka (penjenayah) tersilap orang sebelum melepaskan tembakan,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Seorang lagi penduduk, Asri Mat, 40, pula memberitahu, kebanyakan kes melibatkan senjata api dilaporkan berlaku di Kelantan sejak akhir-akhir ini.
Jelasnya, sindiket pengedaran dadah pastinya antara pihak yang memiliki senjata api.
“Biasanya jika ada pengedar atau sindiket dadah yang ditumpaskan, pastinya ada rampasan melibatkan senjata api. Sebagai orang awam, sudah tentu saya bimbang.
“Mungkin senjata api itu digunakan untuk mempertahankan diri apabila ada ancaman,” katanya.














