SUNGAI PETANI – Berkat kesungguhan menabung sejak kecil, seorang guru takmir di Kuala Muda di sini terpilih untuk mengerjakan ibadah haji pada tahun ini.
Ahmad Sohaib Ahmad Shobri, 36, berkata, ibunya, Sazlina Hassan, 60, membuka akaun Tabung Haji (TH) sejak dia berusia tujuh tahun.
“Ibu mendidik saya dan adik-beradik yang lain supaya menabung. Sebahagian daripada wang tabungan TH itu merupakan ‘duit raya’ yang diberikan oleh saudara-mara setiap tahun sejak kami kecil.
“Sebaik menamatkan pengajian dalam bidang syariah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Kelantan dan bekerja, saya pula meneruskan amalan menabung dengan menggunakan wang gaji sendiri,” katanya ketika ditemui.
Menurut bapa tiga anak itu, dia bersyukur kerana terpilih menunaikan rukun Islam kelima itu tahun ini kerana pernah menolak panggilan ke Tanah Suci berikutan pandemik Covid-19 sebelum ini.
“Saya membuat persiapan mental dan fizikal dengan berlari selama satu jam setiap hari, mengamalkan tidur yang cukup selain menjaga pemakanan.
“Saya juga perlu kuat kerana terpaksa meninggalkan isteri (Nurul Aina Mohd Nadzri) serta tiga anak kami yang berusia dua hingga 11 tahun.
“Isteri saya belum layak untuk turut serta kerana simpanannya masih belum mencukupi,” katanya yang akan bertolak ke Tanah Suci pada 12 Mei ini.
Ahmad Sohaib turut berterima kasih kepada ibu dan bapanya, Ahmad Shobri Abdul Razak, 63, kerana berkat doa mereka dia dijemput menunaikan haji pada tahun ini.
“Sekarang saya pula mengikut jejak langkah ibu dengan menabung RM10 sebulan untuk ketiga-tiga anak sejak mereka lahir. Saya harap mereka juga akan terpilih menunaikan haji pada usia muda seperti saya.
“Memanglah panggilan haji ini bergantung kepada ‘jemputan Allah’, namun kita juga perlu membuat persediaan awal seperti menabung bagi menunaikan ibadah itu,” katanya.















