ISU khalwat membabitkan dua orang artis popular tanah air, Aliff Aziz dan Ruhainies yang berlaku sejak dua bulan lalu bagaikan tiada penyudah, apabila seorang wanita yang mengaku kekasih gelap Aliff, tiba-tiba muncul dan membuat pendedahan berkenaan apa yang sebenarnya berlaku.
Selain mengaku menjalin hubungan dengan Aliff Aziz yang juga merupakan suami kepada pelakon dan penyanyi Bella Astillah, wanita bernama Sarah Yasmine mengejutkan negara apabila menunjukkan bukti tentang hubungan Aliff bersama Ruhainies, sekali gus menggelar Ruhainies sebagai penipu.
Isu tersebut menjadi semakin hangat apabila dia mendedahkan pula perihal hubungan Aliff bersama seorang lagi selebriti wanita, selain turut menyebut nama seorang pelakon lelaki yang dikatakan pernah menjalin hubungan dengan Sarah tidak lama dahulu.
Biarpun tindakan Sarah yang menjadi penyondol dan mengakui dirinya menjalin hubungan dengan suami orang adalah salah, namun dek kerana pendedahan ‘hangat’ yang dibuatnya itu,
Sarah disanjung-sanjung oleh netizen yang memuji keberaniannya.
Pendedahan itu bukan sahaja meraih perhatian netizen yang sememangnya gemarkan aktiviti mengumpat, bahkan ia juga menjadikan mereka yang sebelum ini tidak pernah ambil pusing tentang gosip hiburan untuk turut sama menghakimi hidup orang.
“Aku yang jarang betul ambil tahu kisah artis Malaysia atau luar negara ini, turut sama seronok membaca pendedahan panas itu dan terhibur membaca komen netizen,” tutur seorang teman penulis.
Tidak keterlaluan jika dikatakan, ramai yang cukup menyukai aktiviti menyebarkan aib orang atau bahasa modennya spilling the tea tanpa menyedari bahawa perbuatan itu merupakan satu larangan yang besar dalam Islam.
Penceramah bebas, Ustaz Ahmad Rizam berkata, perbuatan membuka, menyebarkan dan mendengar aib dan juga keburukan orang lain adalah sesuatu yang ditegah oleh nabi.
“Pesan nabi, sesiapa yang membuka dan mendengar aib orang lain, daripada saat itu, amal solehnya dihilangkan oleh Allah S.W.T.
“Amal soleh itu tadi, kemudiannya akan diberikan kepada orang yang dibuka aibnya itu.
“Oleh itu, tanya diri kita, adakah telinga kita ini bersih daripada mendengar kesalahan orang lain dan adakah mulut kita juga bersih daripada bercakap buruk tentang orang lain,
“Jika amal soleh kita sudah habis, maka di manakah tempat kita nanti di akhirat?” katanya.
Oleh itu, sebagai umat Islam, tidak seharunya kita terlibat dalam aktiviti membuka aib sendiri dan juga aib orang lain.
Berusahalah bersihkan hati, bukan sahaja daripada perbuatan menyebar aib orang, tetapi juga daripada mendengar cerita tentang keburukan-keburukan orang.
Manusia itu sifatnya tidak sempurna, maka nilai dahulu khilaf diri, bukan seronok dan sama naik menghakimi hidup orang lain, kerana pada hari kiamat nanti, yang ditanya adalah diri kita sendiri.














