Oleh NURULAZMA SYAFIQAH KHAIRUL AZHAR
JEMPOL-Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan enam buah kenderaan termasuk sebuah lori di simpang tiga, Kilometer 15, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang dekat sini kira-kira pukul 12.50 tengah hari tadi.
Lima buah kenderaan lain yang terlibat dalam kemalangan tersebut ialah sebuah kereta Honda Civic, Proton Waja, Perodua Kancil, Proton Iswara dan Perodua Alza.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian berlaku selepas lori yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun yang datang dari arah Simpang Pertang menghala ke Kuala Pilah gagal mengawal kenderaannya.
Setibanya ditempat kejadian, lori tersebut terlebih dahulu merempuh bahagian belakang kereta jenis Honda Civic dan kemudiannya merempuh kesemua kenderan yang lain.
“Akibat kemalangan tersebut, pemandu Perodua Kancil, telah meninggal dunia ditempat kejadian akibat tersepit dan disahkan oleh pegawai perubatan Hospital Jempol yang hadir di lokasi. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jempol untuk tujuan bedah siasat.
“Ujian saringan air kencing juga telah dijalankan ke atas pemandu lori berkenaan dan hasil ujian terhadapnya mendapati dia positif methamphetamine dan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Chang Hook, mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Normaheiran Mohamad, 47, yang merupakan pemandu Majlis Perbandaran Jempol dan beralamat di Felda Raja Alias 4 dekat sini.
“Pemandu Proton Waja yang berusia 56 tahun pula mengalami patah kaki dan tangan manakala pemandu lain termasuk pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawak Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -K! ONLINE.














