Bab duit raya ini, ramai perlu sedar ia bukan satu kewajiban untuk memberi tetapi sekiranya dapat, perlulah bersyukur bukannya memerli berapa nilai yang diterima.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, amalan memberi duit raya adalah bersifat sukarela sahaja dan tidak menjadi satu kewajipan sehingga membebankan.
Katanya, ia bersifat sukarela dengan niat mahu memberikan keseronokan kepada penerima selain para ulama turut bersetuju amalan itu menepati amalan sedekah.
Bagaimanapun, baru-baru ini kecoh di media sosial apabila seorang bapa mempertikai jumlah duit raya yang diterima anaknya dan menganggap nilai tersebut sudah ketinggalan zaman.
Bapa tersebut menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook memerli si pemberi duit raya apabila anaknya hanya menerima RM3.
Pada masa sama, lelaki itu turut menyifatkan si pemberi sebagai individu kedekut.
“RM3 sahaja dia beri, ada lagi orang zaman ini beri duit raya RM3 macam zaman 90-an. Ramai cakap orang-orang kita ni kaya raya.
“Kalau saya pergi beraya rumah kawan-kawan dekat Pulau Pinang, habis sedikit pun mesti RM5 atau RM10 seorang. Janganlah kedekut sangat kita ini, dengan budak-budak pun nak berkira ke,” ujar bapa itu.
Bagi cerita kedua ini pula, seorang ibu menyuarakan rasa tidak puas hati apabila anaknya yang berusia sekitar tujuh tahun hanya diberi duit raya RM5 berbanding anak saudaranya berusia 17 tahun mendapat RM10.
Menurut wanita itu, seharusnya budak kecil diberi lebih disebabkan keperluan mereka untuk membeli lampin pakai buang, susu, barangan keperluan jauh lebih tinggi perbelanjaannya berbanding anak remaja.
Situasi seperti itu jelas menunjukkan kadangkala si anak tidak ada masalah pun dengan jumlah duit raya yang diterima mereka, tetapi yang lebih ‘beria-ria’ adalah ibu bapa.
Mereka seperti sudah terlupa, tanggungjawab menyediakan kelengkapan anak-anak itu adalah hasil usaha ibu bapa sendiri dan bukannya menagih ihsan orang lain menerusi pemberian duit raya.
Ada ibu bapa seolah-olah sudah meletak sasaran jumlah duit raya terkumpul anak-anak sehingga sanggup mengata belakang saudara mara sendiri yang kurang berkemampuan untuk memberi duit raya.
Mengimbau pengalaman penulis sendiri, ada dalam kalangan mak cik mak cik ‘kepoci’ yang secara terang memerli saudara mara lain yang tidak mampu memberi duit raya.
Lebih pedih, ada mulut yang tanpa rasa malu berkata, ‘jangan kedekut sangat nak bagi duit raya dekat anak-anak saudara, bukan boleh bawa mati harta yang ada.’
Berdasarkan hadis Abu Hurairah RA, hukum meminta-minta sedekah, termasuk duit raya, bagi individu yang masih mampu adalah haram.
“Tidak halal menerima sedekah bagi orang kaya dan orang yang sihat tubuh badannya (untuk bekerja),” kata Riwayat An-Nasaie (2597).
Namun, dalam hadis sama, mereka yang tidak berkemampuan dan memerlukan bantuan tidak dilarang daripada meminta sedekah dalam bentuk duit raya.














