PETALING JAYA – “Ingatkan bunyi letupan orang bergaduh, sampai bergegar rumah, rupa-rupanya serangan Iran ke atas Israel.”
Demikian kata-kata penuntut Malaysia di Jordan, Mohamad Syahmiel Izzuwa Mohamad Rosly, 20, yang menyaksikan detik cemas serangan dron kamikaze, peluru berpandu Iran ke atas Israel melintasi ruang udara Jordan.
Pelajar Universiti Mu’tah itu melihat sendiri dari beranda rumahnya situasi serangan tersebut bermula pukul 2.30 pagi waktu tempatan dan berlanjutan kira-kira setengah jam.
“Saya tinggal di Al Karak, Mu’tah dan tempat ini bersebelahan dengan Palestin yang mana dipisahkan Laut Mati. Mulanya saya sangka bunyi orang bergaduh, tapi ia berterusan panjang.
“Tak sangka ia serangan Iran ke atas Israel. Kami langsung tak tahu akan berlaku waktu itu biarpun telah membaca laporan berita konflik tersebut,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Mohamad Syahmiel Izzuwa yang mengambil jurusan Bahasa Arab dan Sastera menggambarkan situasi tersebut menakutkan kerana tidak pernah berdepan pengalaman seperti itu.
“Rumah saya di tingkat tiga dan memang rasa gegaran kuat. Ramai pelajar Malaysia tinggal di sini dan kami semua sangat bimbang, tapi penduduk tempatan nampak tenang sahaja.
“Mereka keluar dari rumah dan sama-sama menyaksikan serangan, penuh di jalan. Tapi mereka tenang seperti sudah biasa. Kami rakyat Malaysia memang takut sebab tak pernah alami.
“Sewaktu menyaksikannya, saya ternampak ada juga serangan dari Iran tidak berjaya ditepis Iron Dome pihak Israel. Menakutkan bunyinya,” katanya.
Dia yang berasal dari Bagan Serai, Perak berkata, keadaan di Jordan seperti biasa ketika ini, namun keluarganya di Malaysia bimbang keselamatannya di sana.
“Saya buat panggilan video dengan keluarga sekitar subuh, tapi masih lagi bunyi dentuman. Mereka risau sangat, tapi keadaan di sini baik dan stabil sahaja.
“Apa pun kami tunggu sahaja makluman Kedutaan Malaysia di Jordan selain ambil langkah jaga-jaga. Kami pun dah siap sedia kumpulkan barang penting setempat,” katanya.
Berbeza dengan rakannya, Iyad Ahmad Kamal, 22, yang tinggal di Irbid berkata, dia tidak merasai gegaran, namun turut mendengar dentuman dan letupan dari awal pagi hingga ke subuh sekitar pukul 5 pagi.
“Serangan dari Iran ke Israel nampak sikit sahaja di Irbid. Sepanjang tinggal di sini, ini kali pertama saya alami pengalaman tersebut. Takut dan risau juga, takut ada peluru terjatuh ke arah kami.
“Tapi kami pun tak bagitahu apa-apa pada keluarga di Malaysia supaya mereka tak risaukan kami,” katanya.
Iyad yang juga penuntut Universiti Yarmouk jurusan Usul Fiqh berkata, keadaan di Irbid ketika ini seperti biasa dan dia berharap tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku di Jordan.
Terdahulu, Iran melancarkan sejumlah serangan dron ke Israel sebagai tindak balas serangan udara yang dipercayai dilakukan Rejim Zionis ke atas Pejabat Konsulat milik Teheran di Damsyik pada 1 April lalu.














