KUALA LUMPUR – Peniaga makanan seronok apabila diserbu pelanggan sebaik memulakan operasi hari ini selepas bercuti panjang sempena sambutan Aidilfitri minggu lalu.
Rata-rata warung atau gerai di tepi jalan yang menjual pelbagai juadah makanan tengah hari dan sarapan didatangi pelanggan hingga menyebabkan makanan cepat habis dan peniaga tidak menang tangan melayan permintaan.
Tinjauan di beberapa gerai di sini mendapati, ramai pelanggan yang membeli makanan dan minuman di tepi jalan bagi melepaskan ‘geram’ ekoran tidak dapat menikmatinya ketika peniaga bercuti.
Seorang peniaga, Azmi Ramli, 46, berkata, kebanyakan penjaja memulakan operasi pada semalam dan kelmarin.
“Pelanggan lebih ramai hari ini (semalam). Mereka beratur sejak awal pagi sebelum gerai dibuka bagi membeli nasi lemak berlauk dan makanan yang sinonim dengan sarapan pagi.
“Ada juga yang menghantar mesej dan menelefon saya bertanyakan bila gerai akan dibuka semula kerana sudah rindu kerana asyik makan makanan raya,” katanya ketika ditemui.
Menurut Azmi, kebanyakan pelanggan membeli nasi lemak lauk ayam goreng (RM6) dan paru (RM5).
Sementara itu, Roslinah Umar Ali, 57, berasa bersyukur melihat kepada sambutan yang diberikan oleh pelanggan kepada gerainya walaupun baru dibuka semalam.
“Alhamdulillah, buat masa sekarang ini perniagaan berjalan dengan lancar, kita berniaga dengan perlahan-lahan.
“Selalunya yang berniaga makan ini akan dapat untung yang banyak sebab pelanggan makan setiap hari,” katanya.
















