SUASANA desa dipenuhi pohon-pohon menghijau berserta angin sepoi-sepoi bahasa sering dinukilkan dalam cerpen atau novel Melayu.
Ia merupakan gambaran kepada pemandangan desa yang sering didambakan oleh para perantau setiap kali pulang berhari raya.
Berbeza pula dengan Kampung Seri Cheeding dan Kampung Jenjarom di Kuala Langat, Selangor setiap kali perantau pulang ke desa terutamanya pada sebelah malam.
Hal ini kerana para perantau di kedua-dua kampung itu akan disambut dengan gapuro raya atau gerbang raya berupa lampu berwarna-warni dalam bentuk masjid, surau, pelita, ketupat dan lain-lain.
Gapuro adalah dalam bahasa Jawa yang membawa maksud gapura dalam bahasa Melayu. Gapuro raya sering diletakkan di jalan masuk dan simpang masuk kampung.
Budaya membuat gapuro raya telah lama dijalankan penduduk di Kuala Langat terutama Kampung Jenjarom dan Kampung Seri Cheeding.
Tradisi tersebut diteruskan bagi memeriahkan 10 malam terakhir Ramadan dan Syawal.
Salah seorang penduduk Kampung Seri Cheeding, Anas Ishak, 38, memaklumkan, suasana bergemerlapan dengan lampu berwarna-warni jelas kelihatan dari jarak 500 meter apabila penduduk menghiasi pelbagai jenis lampu bagi menerangi kegelapan.
“Gapuro ini dibina khas untuk memeriahkan suasana kampung dan menyambut perantau pulang beraya.
“Sekumpulan 20 orang terutamanya generasi muda di kampung ini terlibat bagi membina gapuro.
“Gapuro ini kali kelima kami buat. Kami buat sama-sama gapuro ini dengan kos lebih RM3,000,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.
Salah seorang ahli kumpulan tersebut, Mohd. Helmi Mat Sapinip, 47, berkata, pembinaan gapuro raya memerlukan penduduk kampung bersatu hati dalam menggembleng tenaga.
Katanya, gapuro tersebut memerlukan masa selama sebulan untuk proses merancang, mengumpul dana dan pelaksanaan projek.
“Paling penting dalam pembinaan gapuro ini adalah tiang yang kukuh untuk menyokong struktur binaan.
“Saya dan ahli kumpulan melaksanakan pembinaan gapuro ini bermula pukul 10 malam hingga pukul 3 pagi selama beberapa hari.
“Komitmen kami membina gapuro ini tidak boleh dinafikan bagi memastikan ia mendapat perhatian penduduk dan orang luar,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Seri Cheeding, Hamdan Ahmad Mohadi, 41, memaklumkan, pembinaan gapuro bukan saja untuk memeriahkan Aidilfitri, malah ketika sambutan kemerdekaan dan tahun baharu.
Menariknya, gapuro tersebut dibina di satu simpang tiga yang sangat strategik bagi menarik perhatian penduduk kampung dan orang luar.
“Di lokasi gapuro ini juga, kami ada buat doa selamat, naikkan bendera dan majlis makan-makan. Jadi, ia sangat strategik,” ujarnya.
Jelas Hamdan, gapuro kali ini melibatkan paparan ucapan hari raya dan gambar penduduk di sepanjang Jalan Enggang.
Berbeza pula dengan salah seorang penduduk kampung itu, Amri Mohd.Kamil, 54, yang memeriahkan suasana malam tujuh likur ketika Ramadan lalu dengan memasang pelita sepanjang 50 meter.
Amri berkata, gapuro dan pelita sebenarnya memainkan peranan tersendiri dalam memeriahkan suasana kampung, selain mengukuhkan ukhuwah antara anggota masyarakat.
“Kita kumpul dana untuk memeriahkan kampung ini. Masing-masing dengan cara tersendiri, namun ia dilakukan untuk sambutan Aidilfitri.
“Sebenarnya, gapuro dengan pelita saling melengkapi dan bukan untuk bersaing.
“Apa yang penting, orang yang merantau atau tinggal di sini gembira melihat suasana kampung indah diterangi cahaya,” katanya.
Dalam pada itu, di Kampung Jenjarom, pembinaan gapuro raya masih menjadi aktiviti utama penduduk kampung ketika minggu akhir Ramadan dan Syawal.
Menariknya, gapuro raya kampung itu pada tahun ini dibina secara tiga dimensi (3D) dengan hiasan berwarna-warni persis di i-City Shah Alam.
Seorang anak jati Kampung Jenjarom, Shaharul Anwar Abdul Majid, 35, berkata, dia bersama penduduk kampung membina sendiri gapuro dengan reka bentuk 3D surau.
Shaharul Anwar memberitahu, reka bentuk 3D tersebut dibuat oleh seorang arkitek tempatan.
Ujarnya, reka bentuk secara inovatif itu mampu menjadikan gapuro raya terus relevan dalam kalangan generasi muda pada masa kini.
“Kita sudah buat gapuro di sini sejak 15 tahun lalu.
“Saya merupakan generasi kedua yang mewarisi pembuatan gapuro ini bersama abang-abang saya.
“Jika kita tidak meneruskan amalan ini, generasi muda sudah pasti tidak kenal gapuro.
“Maka, ia hanya akan tinggal kenangan dan boleh dilihat di dalam dunia maya sahaja,” ujarnya.
Tambahnya, gapuro bukan sekadar satu monumen atau objek penyeri, sebaliknya ia mampu menyampaikan mesej tersirat.
“Misalnya, reka bentuk menyerupai surau ini membawa mesej agar umat Islam mengimarahkan rumah ibadat bukan saja ketika Ramadan, sebaliknya sepanjang masa,” katanya.
Untuk makluman, kebanyakan gapuro yang dihasilkan oleh penduduk di kedua-dua kampung tersebut berbentuk kubah masjid.
“Sesuai dengan 10 malam terakhir Ramadan yang terkandung malam lailatulqadar, maka reka bentuk kubah masjid amat bertepatan ditampilkan sebagai imej gapuro.
“Selain itu, simbol kubah masjid juga sesuai dan sinonim dengan sambutan Syawal,” ujarnya.














