SELESAI memarkir kenderaan di laman sebuah rumah kayu dua tingkat yang terletak di Kampung Endah, Banting, Selangor pagi itu, penulis terus disapa seorang lelaki berkemeja hitam yang sememangnya sudah menantikan kunjungan penulis.
“Assalamualaikum,” sapa Ramlan Misnan ramah, lantas terus mengambil tempat dan duduk di sebuah bangku panjang di hadapan rumah miliknya itu.
Penonton iklan Hari Raya Aidilfitri di negara ini pastinya pernah melihat rumah kayu dua tingkat milik Ramlan yang mesra dipanggil Haji Ramlan, 68, itu memandangkan ia menjadi antara rumah kampung paling kerap muncul dalam iklan raya.
Laman yang luas bersama seni bina rumah klasik yang sudah sukar ditemui di kebanyakan kampung di negara ini, menjadikan rumah milik Haji Ramlan sekeluarga cukup menarik dan menjadi pilihan sebagai lokasi penggambaran bagi menggambarkan kemeriahan beraya di kampung.
Banyak syarikat yang pernah menggunakan ruang kediaman Haji Ramlan termasuklah Petronas, Toyota, Mitsubishi, Tenaga Nasional Berhad, Gamuda Land, myTukar, Air Selangor, Astro, Jakel, Bulan Bintang dan Tune Talk.
Membuka cerita tentang sejarah rumah tersebut, Haji Ramlan memberitahu, rumah itu pada asalnya merupakan rumah milik keluarganya.
“Rumah ini milik arwah ibu dan bapa saya dan dianggarkan sudah pun berusia lebih 90 tahun.
“Ciri seni binanya yang klasik seperti rekaan tangga batu di hadapan rumah dan juga rekaan tiga tingkap yang unik menjadikan rumah ini sebagai pilihan bagi lokasi penggambaran iklan Hari Raya Aidilfitri,” katanya kepada K2.
Mengimbau permulaan kediamannya itu menjadi tarikan sebagai lokasi penggambaran, Haji Ramlan berkata, ia berlaku sebelum tahun 2000 ketika dia dan beberapa penduduk kampung yang lain pernah terlibat sebagai pelakon tambahan bagi sebuah drama bersiri bersama pelakon dan juga pengarah terkenal, Sheila Rusly bertajuk Nur Hikmah.
“Sekitar tempoh masa itu juga, Kampung Endah terlibat dengan program homestay atau inap desa anjuran kerajaan sebagai usaha mempromosikan kampung ini kepada orang luar.
“Sejak itulah Kampung Endah semakin dikenali hingga menjadi pilihan sebagai salah satu lokasi penggambaran sama ada untuk drama, filem mahupun iklan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Hampir setiap hari, ada sahaja pihak yang menghubungi Haji Ramlan, menyatakan hasrat untuk menggunakan kediamannya itu sebagai lokasi penggambaran.
Bahkan, sehari sebelum kunjungan penulis ke situ, Haji Ramlan memberitahu, kediamannya dikunjungi kru produksi bagi sebuah syarikat air dari Johor untuk tujuan penggambaran iklan yang berakhir sekitar jam dua pagi.
Biarpun adakalanya penat melayan tetamu yang hadir, Haji Ramlan memberitahu, dia sentiasa menganggap kedatangan pengunjung ke rumahnya itu sebagai satu rezeki bukan sahaja kepadanya tetapi juga kepada Kampung Endah.

Selepas berbual bersama Haji Ramlan selama kira-kira 15 minit, isterinya, Amnah Kasim, 63, kemudian mengambil tempat di hadapan penulis dan turut sama berkongsi pengalaman sepanjang rumah dua tingkat yang dihuninya itu menjadi rumah popular yang digunakan sebagai lokasi penggambaran.
“Sejujurnya, seronok juga apabila rumah kami dikunjungi kru produksi, sama ada untuk tujuan iklan hari raya, penggambaran rancangan memasak sehinggalah dijadikan sebagai lokasi penggambaran filem atau telemovie.
“Sehinggakan adakalanya, selepas kru-kru itu selesai kerja mereka dan masing-masing pun pulang ke rumah, saya berasa sunyi pula kerana rumah sudah kembali senyap,” kongsi anak kelahiran Bagan Serai, Perak itu.
Tambah Amnah lagi, mereka sekeluarga juga sudah begitu terbiasa menerima kunjungan begitu ramai orang sehinggakan dia menjalin hubungan akrab bersama mereka dan turut diajak beraya bersama keluarga besarnya.
“Kami bahkan turut mengajak mana-mana kru produksi itu yang mungkin tidak berpeluang untuk beraya di kampung halaman untuk datang dan betul-betul beraya di rumah ini bersama kami anak-beranak,” kata suri rumah sepenuh masa itu.
Menurut Amnah, memandangkan mereka sekeluarga menghuni rumah itu, sebelum memulakan penggambaran, pengarah akan memaklumkan kepada mereka tentang ruangan mana yang mahu digunakan bagi tujuan penggambaran.
“Kami lazimnya tidak kisah apabila ruang kediaman ini digunakan untuk tujuan penggambaran atau sebagainya.
“Sebagai contoh, apabila pihak kru produksi mahu menggunakan ruang dapur, maka saya akan diberitahu lebih awal bahawa saya tidak boleh memasak untuk hari itu dan perlu membeli makanan dari luar.
“Menurut saya, itu sahajalah yang mungkin menjadi perkara yang membuatkan saya agak kurang selesa, memandangkan saya ini suka memasak, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan, rasa lebih puas apabila dapat memasak sendiri juadah berbuka anak beranak,” kata ibu kepada lima orang cahaya mata itu.
Amnah kemudiannya mempelawa penulis untuk naik ke ruang tamu utama kediaman itu yang juga menjadi antara ruangan paling popular bagi penggambaran.
Amnah yang sudah 44 tahun mendiami rumah itu selepas berkahwin dengan suaminya memberitahu, selain reka bentuk rumah itu yang cukup klasik, ramai pengarah dan kru produksi yang menghargai barang-barangan lama yang ada di rumah tersebut.
“Rumah ini banyak barangan klasik, antaranya seperti televisyen lama, telefon zaman dahulu dan juga mangkuk tingkat. Ini menambahkan elemen kampung klasik yang mahu ditonjolkan kepada penonton,” katanya.
Menjelaskan tentang jumlah bayaran yang diterima apabila ‘menyewakan’ ruang kediaman cantiknya itu, Haji Ramlan memberitahu bahawa ia terpulang kepada pihak yang mahu menyewa kediamannya itu.
“Saya sebenarnya berasa tidak ‘sedap’ dan kurang selesa apabila perlu meletakkan harga atau nilai sewaan kepada rumah keluarga ini.
“Biasanya, saya akan bertanya kepada syarikat atau pihak produksi filem, iklan atau telemovie itu berkenaan bajet mereka serta durasi penggambaran.
“Sekiranya cadangan nilai yang mahu dibayar itu dirasakan munasabah, maka saya akan menerimanya,” kongsi Haji Ramlan.
Bagi bekas pesara kerajaan itu, biarpun mampu menjana pendapatan dengan menjadikan rumah antiknya itu sebagai ruang untuk disewa, namun bukan nilai wang ringgit yang dikejarnya tetapi lebih kepada menghargai persahabatan yang tercipta.
“Apa yang saya hargai adalah persahabatan dan ukhuwah yang terjalin. Sehingga kini pun, ada antara mereka yang pernah menyewa ruang kediaman kami masih menjalin hubungan baik bersama saya dan keluarga, serta akan datang mengunjungi kami di sini.
“Malah, ada juga yang masih mengingati saya dan akan menyapa saya apabila terjumpa di luar. Saya pula yang segan apabila tidak mengenali mereka, maklumlah sudah begitu ramai yang datang ke rumah ini,” ujarnya.
Haji Ramlan berkata, dia akan sentiasa menjaga kediaman pusaka itu sebaik mungkin dan mahu terus menambah baik keadaan rumah tersebut sekiranya mempunyai bajet.
“Memandangkan rumah ini sudah lama, maka tanda-tanda usang seperti kayu yang mereput sudah boleh dilihat. Kami juga berhasrat mahu mengecat semula rumah ini nanti bagi menjadikan ia lebih cantik,” ujarnya menutup bicara.















