fbpx
Gambar hiasan

Aidilfitri bukan medan banding rezeki, jodoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUDAYA ziarah menziarahi sanak-saudara dan rakan taulan merupakan antara aktiviti lazim pada Aidilfitri.

Pada dasarnya, tujuan amalan tersebut adalah untuk merapatkan hubungan silaturahim dan kekeluargaan.

Setelah begitu lama berpisah dan bertemu kembali, pasti terdapat banyak perkara yang mahu diperbualkan.

Namun saat terlalu asyik mengorek perkembangan kehidupan sesama saudara, tanpa kita sedar, terdapat pihak yang terguris hatinya.

Keadaan ini terjadi apabila berlakunya banding-membanding terutama berkaitan urusan jodoh, zuriat dan keadaan kewangan.

Hal ini secara tidak langsung menjadikan pertemuan di Aidilfitri sebagai detik sukar bagi sesetengah pihak yang sedang duiji Allah dengan kekurangan sebahagian daripada rezeki.

Pensyarah Jabatan al-Syariah, Fakulti Pengajian Islam Kontemporari, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Dr Mohd. Azhar Abdullah berkata, perbuatan membandingkan rezeki orang lain berlaku akibat daripada kejahilan dan penyakit hati.

Katanya, hukum perbuatan itu adalah haram dan berdosa besar kerana termasuk dalam konteks merendah-rendahkan dan menyakitkan seperti dinyatakan dalam al-Quran menerusi surah al-Hujurat, ayat 11.

“Penyakit hati ini sering berlaku, namun lebih menonjol pada Hari Raya kerana pada ketika itu setiap orang menzahirkan ‘rezeki’ mereka.

“Ini menyebabkan perbezaan jelas antara satu individu dan individu lain sehingga dijadikan sebagai ukuran kepada pencapaian hidup seseorang.

“Lalu mata cemburu dan iri hati menyilau dari pandangan mata sesetengah orang dan perkataan menyakitkan terbit daripada luncuran lidahnya,” ujarnya kepada Kosmo!.

Tambah pengarah Institut Bahasa Antarabangsa (IBA), KIAS itu, perbuatan tersebut menyimpang daripada konsep Aidilfitri seperti dalam surah Al-Baqarah, ayat 185.

Katanya, konsep Aidilfitri adalah untuk menzahirkan syukur kepada Allah menerusi tiga bahagian iaitu syukur lisan, perbuatan dan hati.

“Syukur lisan dengan lidah memuji dan berterima kasih kepada Allah. Syukur perbuatan dengan memanfaatkan nikmat-nikmat di jalan diredai.

“Sementara, syukur hati pula melupakan nikmat dengan memandang Allah dalam hakikat. Hati yang suci memandang Allah sebagai pemberi nikmat,” ujarnya.

Mengulas berkenaan cara untuk mengelakkan diri daripada penyakit hati tersebut, Mohd. Azhar berkata, masyarakat perlu menghayati semula tujuan disyariatkan Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, perkara tersebut boleh mengelakkan diri daripada terlalu terikat dengan definisi kebahagian berdasarkan adat sehingga terlupa tentang Qada’ dan Qadar.

“Aidilfitri adalah untuk mengagungkan Allah, membesarkan Allah. Bukan membesar-besarkan dunia, kemewahan, harta, pangkat dan anak pinak.

“Hari Raya adalah ibadat bukan adat. Maka wajib jaga adab, termasuk percakapan dan perbuatan yang menyakitkan dan memudaratkan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN