fbpx
BAKI lembu-lembu milik Rahim yang masih tinggal dan akan dijual selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

Sering dicuri, penternak jual semua 500 ekor lembu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BENTONG – Hasrat seorang lelaki untuk berjaya dalam penternakan lembu selepas membuat pelaburan besar sehingga mampu memiliki kira-kira 500 ekor haiwan ternakan itu menemui titik noktah apabila dia mahu menjual semua lembu itu.

Dikenali sebagai Rahim, dia yang menternak lembu di ladang sawit Sertik, di sini berkata, kejadian kecurian lembu yang berterusan dan semakin menjadi-jadi ketika musim perayaan membuatkannya ‘berputus asa’.

Katanya, sejak menternak haiwan itu lebih 10 tahun lalu, lembu peliharaannya sering dicuri yang menyaksikan sebanyak 14 ekor lembu miliknya hilang pada tahun ini sahaja.

“Saya tidak sanggup lagi tanggung rugi kerana banyak modal dan tenaga telah saya sumbangkan, tetapi akhirnya orang lain yang senang lenang dengan jual lembu saya.

“Bukan saya seorang, hampir semua penternak lain mengalami nasib yang sama tahun ini dengan purata 10 ekor lembu telah hilang setakat ini,” katanya.

Rahim memberitahu, dia telah menjual kira-kira 300 ekor lembu sebelum Ramadan dan selepas Hari Raya Aidilfitri, kesemua baki lembu yang ada akan dijual.

Katanya, usaha menangkap pencuri lembu sememangnya susah kerana mereka amat licik.

“Pencuri biasanya me­lakukan pemantauan dan memastikan pemilik lembu tiada di kawasan sekitar sebelum mencuri.

“Mereka akan melakukan aktiviti ini pada waktu maghrib dan solat Jumaat atau pun tengah malam ketika tiada orang di kawasan ladang,” ujarnya.

Menurutnya, dia percaya lembu yang dicuri dijual dengan harga rendah antara RM2,000 hingga RM2,500 seekor berbanding harga pasaran RM5,000 seekor.

Katanya, kewujudan ubat pelali yang tidak dikawal penjualannya pada masa ini menyebabkan aktiviti mencuri lembu semakin menjadi-jadi.

Tambahnya, pada masa ini ubat pelali boleh dibeli sesiapa sahaja di kedai-kedai tertentu dengan harga RM400 bagi botol 50 mililiter.

“Saya harap penjualan ubat pelali pada masa ini dikawal se­perti dahulu yang hanya dijual di Jabatan Veterinar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN