Assalamualaikum. Saya perlu bermusafir dalam bulan Ramadan atas urusan kerja. Soalan saya, adakah boleh saya makan dan minum di rumah sebelum memulakan permusafiran atau saya perlu bermusafir terlebih dulu baru berbuka puasa? Mohon pencerahan dalam hal ini.
JAWAPAN: Seseorang musafir hendaklah keluar dari kawasan tempat dia bermukim terlebih dahulu sebelum diharuskan untuk berbuka puasa.
Namun begitu, cara terbaik adalah jika seseorang itu meneruskan puasanya setakat yang termampu dalam permusafiran.
Kemudian, jika dia berasa tidak mampu untuk meneruskan puasa, maka diharuskan baginya untuk berbuka dalam permusafiran.
Allah SWT memberikan keringanan kepada orang sakit dan orang bermusafir untuk berbuka puasa dan menggantikannya pada hari lain. Firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 184:
“Sesiapa antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah dia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari lain. (Surah al-Baqarah: 184)
Di sisi mazhab al-Syafi’i, diharuskan untuk berbuka puasa bagi musafir sekiranya dalam permusafiran yang panjang lebih dua marhalah dan bukan bertujuan maksiat.
Namun, hendaklah dia berniat memulakan permusafirannya sebelum terbit fajar iaitu waktu subuh.
Hal ini seperti yang dinyatakan dalam kitab al-Muqaddimah al-Hadramiah bahawa: Diharuskan berbuka puasa bagi musafir dalam permusafiran yang jauh (lebih dua marhalah) kecuali jika seseorang meniatkan untuk memulakan permusafirannya selepas waktu subuh. (Rujuk al-Muqaddimah al-Hadramiah, 136)
Imam Ibn Hajar al-Haitami menjelaskan, dalam situasi seseorang yang bermusafir hendaklah keluar dari sempadan kawasan dia bermukim untuk diharuskan baginya berbuka puasa.
Jika tidak, maka tidak diharuskan baginya berbuka puasa kerana dianggap sama seperti orang bermukim.
Beliau berkata: Dia (musafir) tidak boleh berbuka puasa jika permusafirannya (iaitu keluar daripada bandar dan sempadan kawasan dia bermukim) berlaku selepas waktu subuh kerana dia dianggap sebagai seorang bermukim. (Rujuk al-Minhaj al-Qawim, 1:250)
Oleh yang demikian, dapat difahami bahawa tidak diharuskan baginya untuk berbuka puasa di rumah pada siang hari di bulan Ramadan apabila dia berniat selepas waktu subuh.
Manakala, jika seseorang itu sudah berada dalam keadaan bermusafir dan berniat puasa pada waktu malam, dia diharuskan untuk berbuka puasa pada siangnya dan hukumnya tidak makruh.
Hal ini seperti yang dinyatakan oleh Imam Zakaria al-Ansari:
“Jika seseorang yang sedang bermusafir berniat puasa pada malam hari, maka dia diharuskan untuk berbuka puasa kerana uzur (musafir) itu masih berterusan dan hukumnya tidak makruh. (Rujuk al-Ghurar al-Bahiyyah, 2:225)
Bagaimanapun, dalam situasi ini, cara terbaik adalah meneruskan puasanya terlebih dulu apabila dia memulakan permusafirannya.
Para ulama juga menyebutkan bahawa berpuasa dalam bermusafir adalah lebih afdal jika tidak memudaratkan.
Ini berdasarkan firman Allah SWT: “Berpuasa itu lebih baik bagi kamu.” (Surah al-Baqarah, 184)
Bagaimanapun, jika seseorang musafir merasakan kesusahan dan kesulitan atau menanggung kesakitan akibat berpuasa, maka diharuskan baginya untuk berbuka puasa dalam keadaan ini dan berbuka puasa adalah lebih afdal baginya.
Imam Khatib al-Syirbini menyatakan hal ini:
“Adapun jika berpuasa akan memberikan mudarat kepada dirinya seperti ditimpa penyakit atau sakit yang susah untuk ditanggung, maka berbuka puasa adalah lebih baik baginya.
Diriwayatkan dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim bahawa Rasulullah SAW berjumpa dengan dua orang bermusafir yang berpuasa sedang berteduh, kemudian
Baginda SAW bersabda, “Berpuasa ketika bermusafir bukanlah sesuatu bentuk kebaikan”. (Rujuk al-Iqna’, 1:245)
Kesimpulannya adalah tidak diharuskan seseorang untuk berbuka puasa di rumahnya sebelum dia memulakan permusafiran. Wallahu a’lam.














