PERJALANAN kami tiga beradik ke empat negara bermula dengan transit selama 22 jam di Istanbul, Turkiye.
Kami ke Karakoy dengan menaiki tren Metro M11 (Istanbul Havalimani ke Kagithane) sebelum ambil tram ke Galata Tower.
Di sini, kami sempat makan San Sebastian cheese cake, makan malam dan check-in di Sur Hotel berdekatan Sultanahmet.
Selepas subuh keesokannya, kami bergambar di pekarangan Masjid Biru, Hagia Sophia dan membeli cenderamata di Oriental Sal Gift Shop, Gulhane.
Kemudian, kami naik bas ke Kagithane sebelum menuju lapangan terbang Istanbul menaiki Metro M11.
Kami menaiki pesawat di Istanbul ke Heathrow Airport, London, England.
Sebaik sampai pada pukul 3 petang, kami ke Camden menaiki tren Piccadilly Line ke Caledonian Road Station.
Kami juga sempat membeli barangan dapur terlebih dulu di Sainsbury Local sebelum masuk ke Hotel Camden Prime Apart.
Hotel ini baru diubah suai dan lengkap dengan tempat memasak, peti ais, mesin basuh serta pengering baju.
Katil pula jenis queen beserta satu sofa bed. Jadi, ruang itu cukup selesa untuk kami bertiga.
Pada hari ketiga, kami melawat beberapa tempat iaitu Hyde Park, Buckingham Palace, Piccadilly Circus, Hard Rock Shop dan National Gallery (Trafalgar Square).
Kami juga berkesempatan menyertai perhimpunan solidariti Palestin di sekitar Big Ben.
Kemudian, kami berjalan sekitar London Eye dan solat di surau King’s College.
Kami turut ke Borough Market dan Primark Oxford Street.
Pada pagi hari seterusnya, saya berseorangan ke Stadium Stamford Bridge (Chelsea) untuk stadium tour, sementara dua kakak saya ke Oxford Street membeli-belah.
Pada sebelah petang, kami ke Natural History Museum. Kami beratur selama satu jam lebih untuk masuk sebab percuma.
Sebelah pagi hari kelima, kami ke Tower Bridge dan ke Greenwich Royal Observatory. Kami sempat singgah solat di Mayfair Islamic Centre.
Pada sebelah malam pula, saya sempat ke Stadium Emirates (Arsenal).
Kami check-out pada pukul 3 pagi dan ke St. Pancras Station untuk menaiki Euro Train menuju ke Amsterdam Centraal, Belanda.

Sebaik tiba, kami meninggalkan bagasi di Hotel Orange Tulip untuk bergegas makan di Turkish Dish Kebab dan Manneken Fries yang dijamin halal.
Pagi keesokannya, kami pergi ke Zaanse Schans dengan menggunakan kereta api dari Amsterdam Centraal ke stesen Zaandijk.
Selepas setengah hari di sana, kami pulang semula ke Amsterdam dan makan tengah hari di Snack-it Restaurant dan membeli-belah di Flower Market.
Pada sebelah malam, kami bertiga menaiki kereta api semalaman ke Interlaken, Switzerland pada pukul 8.30 malam. Kami sampai di Stesen Interlaken West pada pukul 8.30 pagi dan menginap di Residence Jungfrau.
Selepas berehat, kami terus ke Iseltwald menaiki bas untuk menikmati panorama Tasik Brienz di jeti yang terkenal dengan lokasi drama Korea Selatan, ‘Crash Landing On You’.
Selepas itu, kami ke air terjun Staubbach di Lauterbrunnen.
Pada hari kesepuluh, kami ke singgah di Zermatt. Selain berjalan-jalan, kami jamah cheese fondue (tanpa alcohol) dan bergambar di Murini Viewpoint.
Keesokannya, kami melawat Blausee Lake dan pada sebelah petang ke Oeschinensee.
Malangnya, perkhidmatan gondola tidak disediakan disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan.
Selepas itu, kami terus balik ke Interlaken dan ambil bagasi sebelum menaiki tren ke Zurich pada pukul 8 malam.
Kami memilih tinggal di hotel bajet Ibis berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Zurich.
Di Zurich, kami memilih untuk membeli pas harian selama 24 jam di Tram Station Unteriett untuk melawat Chocolate Lindt Museum, FIFA Museum dan ke Bahnhofstrasse.
Setelah 13 hari berkelana, kami menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Zurich menuju pulang ke tanah air.














