Rusnani sibuk menyiapkan tempahan pakaian raya pelanggannya ketika ditemui di Hentian Bas MBKT, Kuala Terengganu.

Baju tempah eksklusif, tak sedondon dengan orang lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA TERENGGANU – Lambakan baju kurung sedia dipakai (ready to wear) yang dijual murah di media sosial sejak akhir-akhir ini tidak menggugat ‘periuk nasi’ tukang jahit di negeri in menjelang perayaan Aidilfitri bulan depan.

Rata-rata mereka mula tidak menang tangan menerima tempahan daripada pelanggan di kawasan masing-masing sejak beberapa bulan lalu.

Seorang tukang jahit, Rusnani Muhamad, 56, bersyukur hasil kerja tangannya masih dipercayai pelanggan walaupun berdepan sai­ngan sengit dengan pakaian ready to wear yang dijual pada harga le­bih murah di media sosial.

“Masih ramai yang memilih untuk menempah pakaian raya yang dijahit oleh kami untuk digayakan pada Syawal nanti.

“Mereka beritahu sebab selesa dipakai kerana perincian baju kurung dijahit itu betul-betul mengikut bentuk badan,” katanya ketika ditemui di kedainya di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini semalam.

Rusnani memberitahu, kebanyakan pelanggannya me­nempah baju kurung biasa dan moden serta Pahang dan Kedah.

Dia yang berpengalaman 20 tahun sebagai tukang jahit berkata, kadar upah menjahit yang dikenakannya adalah RM55 dan RM60 sepasang.

“Saya terima hampir 300 tempahan baju raya sehingga terpaksa tutup tempahan sejak akhir bulan lalu. Ia bagi memberi tumpuan untuk menyiapkan tempahan sedia ada sebelum hujung Ramadan ini,” katanya.

Seorang lagi tukang jahit, Sakinah Said, 45, pula berkata, segelintir pelanggan tidak mahu membeli pakaian sedia dipakai kerana enggan kelihatan sama dengan orang lain di pagi raya.

“Kalau tempah sendiri, boleh meminta elemen tambahan se­perti poket, jahitan zip khas untuk ibu menyusu atau sulaman agar tampak lebih cantik dan
eksklusif.

“Segelintir pula menempah agar lebih mudah memperoleh pakaian dengan warna sedondon untuk digayakan seisi keluarga pada Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya.

Tambah Sakinah, berdasarkan tempahan diterima, kebanyakan pelanggannya memilih pakaian berwarna merah bata untuk digayakan pada 1 Syawal ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN