GUA MUSANG – Seorang wanita gigih menjana pendapatan dengan menjual kasut bundle atau terpakai di hadapan rumahnya di Taman Agropolitan Rantau Manis, di sini bagi menampung kehidupan keluarga.
Siti Norzalila Shari, 38, berkata, suaminya, Wan Azahar Wan Abdullah, 34, tidak mampu menampung perbelanjaan keluarga termasuk tiga anaknya yang bersekolah dan di universiti.
Katanya, punca pendapatan suaminya terputus sejak setahun lalu selepas Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) mengambil alih semula ladang milik agensi itu.
“Saya mula mengambil upah menjual kasut bundle dengan pendapatan RM200 sebulan, manakala suami bekerja mengambil upah membersih kawasan ladang dengan pendapatan RM500 sebulan.
“Pendapatan kami hanya cukup untuk belanja makan sahaja. Kenaikan kos sara hidup ketika ini menyebabkan saya tidak mampu menampung perbelanjaan anak yang masih bersekolah dan menyambung pelajaran ke peringkat universiti,” katanya.
Siti Norzalila memberitahu, dia akan mengambil upah menjual kasut bundle setiap hari termasuk mempromosikan menggunakan aplikasi WhatsApp.
Katanya, anak lelakinya, Muhammad Aliff Najmi Abdul Hadi, 19, yang sedang melanjutkan pengajian di sebuah universiti turut membantunya sekiranya cuti semester.
Sementara itu, Muhammad Aliff Najmi berkata, dia menyedari ibu dan bapanya mempunyai tanggungan besar dan dia sendiri tidak pernah rasa malu untuk bekerja menjual kasut bundle.
“Saya tidak berasa malu, sudah diajar hidup berdikari bagi menampung perbelanjaan pengajian,” katanya.
Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Bank Islam miliknya, 03063020455780 atau menghubunginya, 013-965 0264.














