fbpx

Makin ramai suka kongsi dosa, maksiat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUTAKHIR ini, perbuatan melakukan dosa dan maksiat dalam kalangan masyarakat terutamanya generasi muda dianggap satu perkara biasa.

Mereka kini tanpa segan silu berkongsi cerita dan video tentang kemungkaran yang dilakukan.

Malah, baru-baru ini, di media sosial tular satu video di mana ada seorang gadis tanpa rasa bersalah mengakui dia telah balik dengan lelaki dua kali selepas ‘clubbing’.

Bukan itu sahaja, ada juga generasi muda yang sanggup menggadai harga diri dengan berkongsi pelbagai video lucah menerusi akaun Dark Side.

Memetik intipati khutbah Jumaat baru-baru ini, perbuatan maksiat serta dosa sangat dilarang dan perkara itu membawa kepada kerosakan akidah dan
keruntuhan akhlak bagi mereka yang terlibat dengan perbuatan tersebut.

“Di antara perbuatan maksiat yang menghancurkan masa hadapan ummah ialah perbuatan zina dan perkara- perkara yang mendorong ke arahnya.

“Pada hari ini, pengaruh daripada media sosial telah banyak membawa kesan-kesan negatif apabila ia begitu mudah menjadi medium untuk menyebarkan elemen-elemen seks bebas dan lucah secara terbuka,” katanya.

Pensyarah Kanan di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr. Sharifah Basirah Syed Muhsin berkata, arus kemodenan kini telah disalah guna sehingga boleh membawa manusia leka ke arah mengejar dan mengutamakan keseronokan serta kesenangan kehidupan.

Menurutnya, ada golongan yang mementingkan tuntutan material dan sanggup mengabaikan maruah dan melanggar perintah Allah.

“Kenyataan ini berkait rapat dengan isu pelacuran moden yang tular di media sosial baru-baru ini yang kebanyakan mereka terdiri daripada golongan wanita muda.

“Mereka menjadikan media sosial platform untuk memasarkan video lucah yang dirakam sendiri kemudian diedarkan kepada peminat yang sanggup membayar,” jelasnya.

Tambahnya, melihat kepada keadaan ini, secara tidak langsung menggambarkan keruntuhan akhlak dan hilangnya sifat malu serta harga diri yang sangat membimbangkan.

Keteguhan asas agama dalam diri memainkan peranan penting dalam membina benteng diri dari sudut kejiwaan sekali gus menatijahkan sahsiah dan peribadi unggul.

Islam sebagai agama yang sentiasa menjaga umatnya melalui ajaran-ajaran tertentu bukan sahaja meliputi penjagaan dari aspek luaran atau fizikal.

Malah, agama juga menekankan pembentukan rohani yang kukuh dalam membentuk satu sosok tubuh yang sentiasa terpandu dan mampu membenteng diri daripada segala salah laku.

Jelasnya, antara perkara penting yang Islam sangat ditekankan ialah soal malu serta maruah.

“Ada pun perbuatan pelacuran moden ini menggambarkan terhakisnya sifat malu yang sepatutnya menjadi sebahagian daripada iman dan benteng seorang wanita daripada melakukan larangan Allah.

“Ini kerana, pokok pangkal kebaikan dan benteng diri daripada melakukan maksiat keburukan adalah sifat malu kerana malu adalah sebahagian daripada iman,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN