IKAN lampam atau nama saintifiknya Barbonymus schwanenfeldii sememangnya merupakan spesies ikan air tawar yang sangat dikenali di negara ini.
Turut dikenali sebagai tinfoil barb, spesies lampam ini juga merupakan ikan air tawar tropika yang berasal dari Asia Tenggara dan berasal dari keluarga Cyprinidae.
Di negara ini, selain kerap dijadikan masakan ala kampung, ikan lampam juga merupakan antara spesies popular yang diburu untuk dijadikan pekasam oleh para usahawan terutama di kawasan kampung dan luar bandar.
Ia disebabkan oleh faktor isinya yang lembut, selain tulangnya yang halus dan mudah untuk hancur setelah diawet menggunakan bijian beras.
Menyedari akan permintaannya yang tinggi di pasaran, ia telah mendorong seorang kaki pancing, Saifurdin Salleh, 45, untuk turut memburu spesies ikan air tawar itu.
Menurut Saifurdin, walaupun dia bertugas sebagai seorang penjawat awam di Lembah Klang, ia tidak menghalang dirinya untuk berkunjung ke beberapa ‘port’ memancing yang terdapat di sekitarnya bagi mencari ikan lampam terutama pada hujung minggu.
“Di sekitar Lembah Klang ini terutama di Putrajaya, terdapat beberapa kawasan yang kerap menjadi ‘port’ kaki pancing untuk memburu pelbagai spesies ikan air tawar.
“Saya sendiri kerap berkunjung ke tasik Pusat Rekreasi Air Putrajaya kerana di sana saya boleh memancing ikan lampam dengan agak mudah.
“Malah, jika menggunakan umpan dan teknik yang betul, kita boleh dapat ikan lampam dalam jumlah yang banyak pada waktu yang singkat sahaja.

“Waktu yang sesuai juga sangat memainkan peranan dan saya kerap memburu lampam pada waktu pagi atau petang kerana ketika itu ikan lampam aktif memakan umpan,” katanya ketika ditemui K2 baru-baru ini.
Cerita Saifurdin lagi, dia sendiri pernah menaikkan lebih daripada 21 kilogram ikan lampam pelbagai saiz ketika memancing bersama dua rakannya di tasik berkenaan baru-baru ini.
Katanya, pada sesi memancing yang diadakan bersama rakan-rakannya itu, mereka mengambil masa kira-kira lima jam sahaja untuk menaikkan kesemua ikan lampam tersebut.
“Ketika itu, saya dan dua lagi rakan menggunakan set joran jenis ultra light dan teleskopik sahaja memandangkan saiz ikan lampam di sini tidaklah terlalu besar.
“Biasanya, saya akan menggunakan umpan sama ada roti, palet atau dedak yang telah diadun dengan perisa khas untuk menarik minat ikan lampam untuk memakan umpan.
“Kesemua ikan lampam yang kami dapat ketika itu, sebahagiannya dibahagikan untuk dibawa pulang sebagai hidangan.
“Manakala, sebahagian lagi kami jual kepada seorang rakan yang memang mencari ikan lampam untuk dijadikan pekasam,” katanya.
Menurut Saifurdin lagi, ikan lampam yang dipancing di tasik berkenaan mempunyai rasa yang enak berbanding ikan lampam yang diperoleh dengan memancing di sungai atau tasik di kawasan lain.
Ini kerana, jelasnya, air di kebanyakan tasik di sekitar Putrajaya mempunyai air yang bersih dan bebas daripada sebarang pencemaran.
Justeru katanya, tidak hairanlah apabila ramai kaki pancing dan pemburu ikan lampam menjadikan tasik-tasik di sekitar Putrajaya untuk memburu spesies tersebut sama ada untuk dijadikan hidangan ataupun dijual.
Malah, katanya, dia sendiri akan turut ke tasik Pusat Rekreasi Air Putrajaya hampir setiap minggu sama ada bersama rakan-rakan atau dengan keluarganya untuk memancing ikan lampam.
Bercakap mengenai harga ikan lampam pula, kata Saifurdin, kebiasaannya ikan tersebut dijual pada harga antara RM4 hingga RM5 bagi setiap ekor yang bersaiz kira-kira sebesar tapak tangan.















