PETALING JAYA – Seorang wanita menghabiskan wang simpanan serta barang kemas miliknya yang berjumlah RM100,000 selepas terpengaruh dengan tawaran menarik yang dijanjikan oleh sebuah syarikat pelaburan dengan keuntungan berlipat kali ganda.
Mangsa berusia lingkungan 50an itu juga dikatakan terlalu taksub untuk menyertai skim pelaburan yang diiklankan di Facebook itu, sekali pun sedar dia sebenarnya telah menjadi mangsa sindiket scammer.
Mendedahkan perkara itu, menantu kepada wanita berkenaan dikenali sebagai Adam, 31, berkata, ibu mentuanya mula terlibat dengan aktiviti pelaburan palsu sejak sebulan yang lalu.
Katanya, perbuatan ibu mentua yang dipanggil umi itu terbongkar selepas mangsa mahu meminjam wang sebanyak RM7,000 dengan alasan untuk dijadikan modal pelaburan.
“Pada mulanya, kami memang tidak tahu yang umi menjadi mangsa pelaburan palsu. Apa yang kami dimaklumkan, kali pertama ibu membuat pembayaran kepada scammer adalah pada 25 Disember 2023.
“Semuanya disebabkan tindakan ibu yang mahu meminjam RM7,000 daripada anaknya. Keadaan umi ketika itu juga sangat terdesak,” katanya kepada dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Adam yang bekerja dalam sektor swasta memberitahu, ibu mentuanya sebelum ini langsung tidak pernah meminta wang daripada anak-anak kerana tiada keperluan untuk menggunakan wang yang banyak di kampung.
Susulan itu katanya, dia dan isteri cuba berbincang dengan ibu mentuanya untuk mendapatkan cerita mengenai syarikat pelaburan yang disertai wanita tersebut.
“Nama syarikat tersebut sememangnya wujud dan mempunyai laman sesawang rasmi, namun sama ada ia berdaftar secara sah atau tidak belum dapat dipastikan.
“Saya pujuk umi dan minta nombor telefon pihak ‘pelabur’ yang berurusan dengan umi dan bila saya semak, memang syarikat itu wujud. Pihak tersebut juga berhubung dengan umi melalui
‘WhatsApp Business’, memang ada laman web syarikat, ada nombor syarikat. Cumanya bila saya berhubung dengan syarikat bertanyakan tentang latar belakang individu yang berhubung dengan umi, mereka kata individu berkenaan tidak wujud dan sah ia perbuatan scammer,” ceritanya.

Tambah Adam, keadaan menjadi rumit apabila ibu mentuanya pula meminta agar mereka tidak mengganggu scammer terbabit.
“Umi kata, kalau saya ganggu, dia mungkin sukar dapat pulangan pelaburan seperti yang dijanjikan,” ujarnya.
Bercerita lanjut, Adam memaklumkan sepanjang sebulan ini, ibu mentuanya sudah membuat pembayaran sebanyak RM58,745 dan setiap kali pembayaran, wanita itu akan membayar sekitar RM300 hingga RM9,000.
“Saya dan isteri memang terkejut bagaimana umi boleh terjerat dan mempercayai pelaburan tidak wujud ini secara diam-diam dan perbuatan umi langsung tidak diketahui oleh bapa mentua dan adik-beradik yang lain,” katanya.
Adam berkata, mengikut pendedahan yang dibuat wanita itu, anggaran kerugian yang dialami setakat ini adalah hampir RM100,000 termasuklah wang dari simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).
“Umi beritahu yang dia sudah habiskan hampir RM100,000, umi keluarkan KWSP (RM35,000), guna duit ASB (RM20,000), simpanan Amanah (RM4,000).
“Umi juga terpaksa gadai cincin dan rantai emas (RM3,500) dan pinjam duit saudara (RM10,000). Itu apa yang umi beritahu sekitar RM72,500, sejauh mana umi jujur saya tak pasti tetapi saya yakin, jumlah sebenar lebih tinggi,” luahnya.
Katanya, laporan polis sudah dibuat pada Sabtu lalu meskipun dia tahu tiada harapan untuk mendapatkan wang tersebut semula.
“Kami hanya buat ‘cover report’, apa tindakan polis seterusnya itu terpulang. Pihak keluarga saya hanya berikan segala maklumat yang diperlukan untuk polis siasat kes ini.
“Cumanya apa yang saya lihat, umi saya sehingga hari ini (kelmarin) masih lagi tidak sedar, dan masih letak harapan pelaburan yang dibuatnya akan memberi pulangan,” katanya.














