LIVERPOOL – Keputusan Jurgen Klopp mahu melepaskan jawatannya sebagai pengurus Liverpool penghujung musim ini berkemungkinan besar menyaksikan tiga lagi bintang pasukan itu mengikut jejak beliau.
Penyokong-penyokong tegar The Reds masih lagi belum dapat menerima hakikat Klopp, 56, bakal menamatkan ‘era pemerintahannya’ selama sembilan tahun di Anfield sejak dilantik pada 8 Oktober 2015.
Kini, penyerang prolifik, Mohamed Salah; kapten, Virgil Van Dijk dan tonggak pertahanan berpengaruh, Trent Alexander-Arnold mungkin turut meninggalkan Anfield kerana kontrak mereka akan berakhir pada tahun depan.
Biarpun berbaki setahun lagi, tetapi buat masa ini masih tiada tanda-tanda bahawa pihak pengurusan Liverpool bersedia menawarkan lanjutan kontrak baharu kepada tiga pemain bintang tersebut.
“Pemikiran saya ketika ini mahu memastikan kami mencapai sasaran ditetapkan dan tidak terpengaruh dengan berita ini. Kami tetap yakin dan pengurus (Klopp) juga percaya kami mampu mencapai kejayaan musim ini,” kata Van Dijk.
Sekiranya trio sensasi itu memilih mencari angin baharu, pengganti Klopp selepas ini pastinya berdepan masalah untuk memastikan generasi baharu Liverpool mampu terus berdaya saing mencabar gergasi-gergasi yang lain.
Tidak mustahil Liverpool mampu jatuh semula ke era kegelapan mereka seperti musim 2011/2012 apabila menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga kelapan dengan hanya mengutip 52 mata di bawah kendalian Sir Kenny Dalglish.
Disebabkan itu, pengurusan tertinggi Liverpool perlu bijak melantik pengurus yang benar-benar berkaliber kerana pelantikan tersebut dilihat mampu meyakinkan tiga bintang tersebut kekal beraksi di Anfield.
Nama paling hangat dikaitkan ketika ini ialah Xabi Alonso yang mempunyai klausa untuk meninggalkan Bayer Leverkusen jika menerima tawaran daripada mana-mana bekas kelabnya sama ada Liverpool, Real Madrid atau Bayern Munich.
Beberapa calon lain turut dikaitkan antaranya legenda The Reds, Steven Gerrard, Roberto De Zerbi (Brighton), Luis Enrique (Paris Saint-Germain), Ruben Amorim (Sporting Lisbon) dan terbaharu bos Brentford, Thomas Frank. – AGENSI














