SKUAD Harimau Malaya boleh mendabik dada selepas mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri untuk mengikat negara pilihan, Korea Selatan 3-3 pada aksi terakhir Kumpulan E saingan Piala Asia 2023 kelmarin.
Meskipun memulakan kempen dengan langkah kiri dengan dua kekalahan, pasukan negara akhirnya tunjuk belang sebenar apabila berjuang mati-matian untuk meraih mata pertama dalam sejarah penyertaan Piala Asia.
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon memuji persembahan anak-anak buahnya yang melakar kejutan kerana bukan mudah untuk ‘berdiri sama tinggi’ dengan pasukan No. 23 dunia itu.
Pan-gon berkata, keputusan yang diraih adalah hasil usaha keras pemain yang tidak kenal erti penat dan berjuang hingga wisel penamat meskipun jelas Korea Selatan mendominasi sepenuhnya perlawanan.
“Tahniah kepada pemain dan rakyat Malaysia, kami menghargai semua sokongan daripada kerajaan, FAM, kelab, pemain dan rakyat Malaysia. Ia perlawanan yang hebat dan sangat sukar bagi kami.
“Secara jujur, saya anggap ini adalah keputusan yang hebat dan bangga dengan komitmen yang diberikan oleh semua pemain.
“Bukan mudah untuk menaikkan motivasi mereka selepas kalah dua perlawanan berturut-turut. Anda boleh lihat bagaimana Korea Selatan mendominasi aksi babak pertama.
“Namun, pada separuh masa kedua kami berjaya bangkit dan menamatkan saingan dengan keputusan seri. Ia adalah perlawanan yang menakjubkan dan pengalaman kompetitif di peringkat tertinggi,” katanya selepas tamat perlawanan.
Sementara itu, kapten skuad negara, Dion Cools memuji semangat juang rakan sepasukannya untuk bangkit daripada ketinggalan dua kali sebelum berjaya mendapatkan keputusan bersejarah itu.
“Inilah lumrah bola sepak dan ia dimainkan sehingga wisel penamat. Mungkin ada ketika kami tidak percaya boleh meraih keputusan seri tetapi pemain bekerja keras untuk berusaha memberi tekanan kepada lawan.
“Kita telah pamerkan karakter positif sepanjang perlawanan ini dan harap kami tidak perlu tunggu untuk tempoh yang lama sebelum layak ke pentas Piala Asia edisi akan datang,” kata Cools.
Pada perlawanan di Stadium Al Janoub itu, gol-gol pasukan Malaysia dijaringkan oleh Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi dan Romel Morales.
Sementara itu, skuad Korea Selatan pula mendapat jaringan hasil penyudah Jeong Woo-yeong, Lee Kang-in dan kapten, Son Heung-min.













