fbpx
SETIAP tahun dihimpit pertanyaan tentang jodoh, Erra mengakui sudah lali dengan soalan sedemikian dan menganggapnya sebagai usikan manja orang ramai. - FOTO – SYAKIR RADIN / BLACKPEPPER PRODUCTION

Malas ambil pusing, saya bahagia – Erra Fazira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LEBIH tiga dekad mencanai bakat dalam industri seni hiburan tanah air, primadona filem Melayu alaf baharu Erra Fazira tidak lagi perlukan pengenalan panjang, hampir mustahil khalayak tidak mengenali aktres jelita itu.

Seperkara menyenangkan setiap kali bersua dengan bekas ratu cantik itu, beliau jarang mengelak daripada memberi jawapan kepada setiap pertanyaan media.

Daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah soalan panas melibatkan kehidupan peribadinya, pasti ada penjelasan terbit menerusi bibirnya.

Tujuh tahun menjanda selepas dua kali retaknya rumah tangga dibina, pemilik nama penuh Fazira Wan Chek itu sentiasa dihambat persoalan berkaitan jodoh.

Tahun ini, meledak pula khabar angin mengenai kononnya gambar perkahwinan dengan orang kenamaan tergantung di dinding rumah, malah dakwaan itu difahamkan dicetuskan seorang selebriti yang berkunjung ke rumahnya.

Masih ibu tunggal

Tidak melatah, barangkali sudah lali dengan khabar angin sedemikian, ibu kepada seorang cahaya mata itu menafikan tuduhan tersebut, sekali gus menyifatkan itu satu fitnah.

Ujar Erra, dia enggan ambil pusing tohmahan tersebut, bahkan memilih untuk memaafkan individu yang menabur cerita dongeng sebegitu.

“Itu semestinya satu fitnah dan saya macam terkejut gambar apakah itu. Apa pun saya memaafkan individu berkenaan.

“Apapun yang tersebar, hanya saya tahu diri saya dan apabila mendengar mengenai fitnah itu saya mampu ketawa sahaja.

“Saya sebenarnya sudah sampai tahap malas ambil peduli, dah minta hentikan dakwaan sebegitu sejak dulu lagi, tapi tetap berulang,” ujarnya serius.

GEMBIRA dengan kehidupan sekarang dan dalam masa sama tidak bergantung harap kepada manusia untuk bahagia, Erra kini lebih fokus perihal anak kesayangannya, Engku Aleesya.

Ruang hati masih belum ditawan mana-mana arjuna, wanita berusia 50 tahun itu menegaskan dirinya sehingga kini masih berstatus ibu tunggal.

“Saya masih ibu tunggal, malah sudah bertahun-tahun solo tapi saya tidak pernah menutup pintu hati, cuma sekarang mungkin belum lagi.

“Saya pun tak tahu motif orang gosip hal sedemikian, mungkin ada hikmahnya iaitu bermakna orang masih berminat nak tahu tentang kisah peribadi kita.

“Kadang-kadang bila kita dah sampai pada usia sebegini, kita tak terfikir dah soal begitu. Saya bahagia dengan kehidupan saya sekarang.

“Bagi saya tidak perlu bergantung dengan manusia untuk berbahagia,” tuturnya panjang lebar.

Menoktahkan soalan disitu selain enggan berlama-lama larut dalam perihal jodoh, penulis bertanya pula alasan aktres tinggi lampai itu kini hanya mengambil watak sampingan sedangkan bergelar primadona.

Enggan terbeban julukan primadona

Erra yang bakal muncul dalam naskhah sensasi Rampas Cintaku 2 sebagai Datuk Nasha, mengakui watak sampingan sama penting untuk menghidupkan cerita, selain enggan terbeban dek julukan diberikan apabila hanya ingin mencari kepuasan sebagai pelakon.

“Itu saya kata, apabila diberi julukan tertentu, impaknya kepada artis itu sendiri, kena cari naskhah dan watak yang hebat padahal tidak setiap masa kita mendapat peranan sebegitu apatah lagi di usia begini.

“Kita bukan pelakon Hollywood yang sentiasa ditawarkan watak dan naskhah hebat, mahu tunggu itu semua memang makan masa.

“Ramai tanya kenapa ambil watak ringan tapi pada saya sebagai seorang pelakon, kadang-kadang saya mahukan watak berat dan begitulah sebaliknya, saya tidak mahu ambil pusing gelaran itu dan tidak mahu terbeban,” katanya.

Paling utama kata Erra, meniti di usia 50-an ini, tiada apa yang ingin dia kejarkan dan enggan merasa stres ketika berada di set penggambaran dek mengejar tuntutan peranan utama.

“Saya memang banyak kali bawak watak cameo sahaja dan saya tidak kisah. Lagi pula di umur sebegini saya memang tidak mahu terlibat lama di set penggambaran.

“Saya dah puas lalui zaman bekerja dari pagi ke pagi, kini saya memilih untuk pergi kerja dengan keadaan seronok dan tidak terlalu tertekan memikirkan tuntutan sebagai watak utama bagi sesebuah naskhah.

“Lagipun saya bukanlah di zaman untuk mengejar atau mencapai sesuatu seperti anugerah atau sebagainya, sekarang saya memang akan pilih watak kedua atau sampingan, peranan utama bagilah orang lain,” katanya.

Cabaran watak Datuk Nasha

Bercakap tentang naskhah sarat adegan berani Rampas Cintaku 2 arahan sutradara Ejump Mohd. itu, Erra mengakui menyuntik pelbagai teknik untuk menjayakan watak Datuk Nasha yang hanya memendam hati luka dan sekadar meluahkan rasa melalui ekspresi muka.

MEMEGANG watak Datuk Nasha dalam drama Rampas Cintaku 2 mencabar kebolehan Erra menggunakan ekspresi wajah dan pergerakan badan untuk meluah emosi dan menghidupkan karakter.

“Walaupun watak Datuk Nasha hanya sampingan, tugasnya sangat berat. Dia pelengkap kepada jalan cerita, jujur memang banyak teknik lakonan saya guna.

“Peranan tersebut memang tidak banyak dialog tetapi lebih kepada luahan melalui ekspresi muka dan pergerakan tubuh badan, itu sebenarnya yang susah.

“Ramai ingat tak banyak dialog senang tetapi nak kekalkan dan zahirkan ekpresi mengikut tuntutan watak dan naskhah itu bukan mudah ya, memang kena pandai warnakan watak supaya lebih hidup dan menjadi,” tegasnya.

Ditanya andai lakonannya bakal menenggelamkan pelakon utama iaitu Fasha Sandha, pelantun lagu Pasrah itu berkata perkara tersebut mustahil berlaku kerana isteri kepada Aidil Aziz itu juga hebat.

“Lakonan Fasha sangat bagus, lagi pun naskhah ini bukan berfokuskan watak saya, jadi mustahil perkara itu akan berlaku.

“Cerita ini pun mengenai watak utama, tiada istilah siapa yang tenggelamkan siapa, malah masing-masing mempunyai keistimewaan tersendiri untuk memberi nilai tambah kepada naskhah tersebut,” ujarnya sambil menutup bicara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN