fbpx
ZALINA juga merupakan wanita pertama dunia menerbangkan pesawat jenis Bombardier.

Bekas juruterbang wanita TUDM buka hotel ‘bulus’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kadangkala apa yang diimpikan dan dihajati tidak semestinya dapat dipenuhi.

Itu apa yang berlaku kepada wanita bernama Zalina Sungip apabila impiannya sejak kecil untuk bergelar pendidik tidak kesampaian.

Sebaliknya, profesion yang langsung tidak pernah terfikir dalam benak fikiran wanita itu menjadi kerjaya pertamanya.

Dia memilih kerjaya sebagai juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Itulah kerjaya yang dilorongkan Allah SWT buat Zalina tatkala permohonannya sebagai guru ditolak.

Mengakui tidak pernah berminat dalam bidang ketenteraan seperti apa yang dijawat Allahyarham bapanya, wanita berusia 55 tahun itu perlahan-perlahan menerima rezeki diberikan.

“Jujur bekerja sebagai juruterbang lebih-lebih lagi bersama TUDM tidak pernah terfikir dalam fikiran.

“Apa yang saya tahu, saya nak jadi guru. Saya mahu mengajar Matematik kerana itulah subjek paling saya sukai dan mahir.

“Namun, apakan daya, ketika saya tamat pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Fizik & Matematik) dari luar negara, ekonomi Malaysia ketika itu agak perlahan dan peluang kerja sangat terhad,” katanya.

Jelasnya, biarpun tidak memiliki latar belakang atau ikhtisas dalam bidang pendidikan untuk bergelar guru, namun cita-cita tersebut tetap diidamkan dan menjadi keutamaan.

Mengakui berasa kekok dan sering dipandang sebelah mata kerana Zalina satu-satunya pelatih wanita ketika itu, namun dia enggan ambil pusing dengan apa yang diperkatakan.

“Jenis saya ini tidak kisah dengan apa orang kata. Kalau saya boleh lakukan, saya akan buat semampu mungkin.

“Kisah dan perjalanan hidup saya ini tidak ubah seperti filem Gunjan Saxena: The Kargil Girl.

“Kalau ada pernah tonton, lebih kurang begitulah kisah hidup dan apa yang saya lalui,” katanya yang menjalani latihan awal di Institut Latihan Instruktor Terbang Alor Setar, Kedah.

Lama-kelamaan, Zalina seronok dan mula jatuh cinta dengan kerjayanya sebagai juruterbang wanita TUDM serta sempat menabur bakti selama 13 tahun bermula 1993.

Lebih membanggakan, Zalina merupakan wanita pertama dunia menerbangkan pesawat jenis Bombardier.

Beberapa tahun selepas itu, dia berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) selama tiga tahun.

“Selepas tamat kontrak sebagai pensyarah, saya ditawarkan kembali bekerja sebagai juruterbang dan menjadi wanita pertama negara bertugas di Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

“Selepas empat tahun berkhidmat hingga 2010, kontrak saya tamat dan ditawarkan pula bekerja sebagai pengurus besar di sebuah syarikat minyak dan gas ternama negara.

Menurutnya, selepas menjawat jawatan tersebut dan bekerja sepenuhnya di pejabat, dia mempunyai masa bersama anak-anaknya dan keluarga.

Disebabkan ada masa terluang juga, dia memilih berkecimpung sebagai business women dengan menawarkan perkhidmatan hotel dan grooming buat kucing.

“Sebenarnya saya tak berminat langsung dengan kucing.

“Kebetulan kawan saya yang migrasi ke luar negara meminta bantuan saya untuk menjaga sepasang kucing peliharaannya yang ketika itu berusia dua tahun.

“Bermula dari situ, saya mula jatuh cinta dengan haiwan tersebut.

“Apabila saya menjaga dan membela kucing, penat dan tekanan di pejabat hilang,” katanya.

Disebabkan itu juga, Zalina mula membeli beberapa ekor kucing daripada platform atas talian sehingga bertemu rakan perniagaan, Nor Afidah Soot bagi mengusahakan perniagaan Bulus Palace.

Berlokasi di Taman Puchong Utama, Selangor, Bulus Palace tidak sahaja menawarkan 29 ruang penginapan kucing beraneka jenis bilik, tetapi turut memberi beberapa perkhidmatan lain seperti grooming serta pet taxi pada kadar harga berpatutan.

Tidak sekadar hotel kucing, Bulus Palace yang dikendalikan oleh empat orang staf turut menawarkan sebuah kafe.

Selain itu, tempat berkenaan bakal menempatkan sebuah pusat tuisyen percuma buat pelajar tingkatan satu hingga tiga dalam subjek Matematik bermula 15 Januari depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN