JOHOR BAHRU – ‘Bagai dilanda Tsunami’. Itu gambaran yang diberikan mangsa banjir berhubung situasi bencana alam yang melanda Kampung Sungai Tiram di sini.
Pemilik bengkel kenderaan, Suhaili Ismail, 39, berkata, dia tidak menyangka situasi banjir pada musim tengkujuh kali ini disifatkan yang terburuk pada tahun ini.
“Saya tidak dapat membayangkan air sungai naik dengan begitu cepat sehingga tidak sempat menyelamatkan barangan seperti motosikal di dalam bengkel.
“Air mulai naik pukul 6 pagi, pada mulanya hanya pada paras buku lali. Saya membuka bengkel seperti biasa, namun keaaan bertukar sebaliknya apabla hujan semakin lebat.
“Kakak kemudian memaklumkan rumahnya di Kampung Dagang sudah mula dimasuki air,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Suihaili yang baru setahun membuka perniagaan di Sungai Tiram itu tanpa berengah menutup premisnya dan bergegas ke rumah kakaknya yang terletak tidak jauh dari bengkel tersebut.
“Malangnya air mula naik dan hujan semakin lebat. Saya tidak sempat menyelamatkan perkakasan dan peralatan bengkel. Dalam masa begitu singkat, air naik sampai paras leher (1.5 meter),” katanya yang menanggung kerugian RM5,000.

Sementara itu, pemilik kedai makan, Miswan Ahmad Urjan, 66, pasrah dengan kejadian bencana alam itu walaupun kesemua barangan termasuk kerusi dan meja di dalam kedainya hanyut dibawa arus.
“Saya uma sempat menyelamatkan peti sejuk, barangan lain seuanya dibawa arus deras.
“Sepanjang tinggal di sini selama lebih 50 tahun, inilah ujian paling besar yang saya hadapi. Banjir kali ini sangat dahsyat,” katanya yang kerugian hampir RM5,000.
Menurut Miswan, sebelum ini, kawasan tersebut pernah dilanda banjir, namun tidak seteruk kejadian semalam.
“Walaupun ketika banjir besar berlaku di Kota Tinggi pada tahun 2006, Kampung Sungai Tiram tidak dinaiki air,” katanya.
Miswan dan isterinya, Emilia Marsom Hussin 66, berkata, kerja-kerja mencuci dan membersihkan lumpur di dalam kedai dijangka mengambil masa dua hingga tiga hari sebelum premis tersebut kembali beroperasi.

Di Kota Tinggi, peniaga di daerah ini terpaksa menanggung rugi besar apabila tidak sempat menyelamatkan barangan masing-masing berikutan air naik secara mendadak dalam kejadian banjir semalam.
Peniaga Gerai Belangkas Mahkota, Mohamad Hit Abdul Hamid, 52, berkata, air naik begitu cepat tambahan pula kedainya ditutup kelmarin.
“Saya tidak sempat membuat apa-apa persiapan banjir. Saya sudah tidak boleh masuk ke dalam kedai, hanya lihat dari luar.
“Peti sejuk dan barangan lain kelihatan terapung. Ketika air naik (banjir) saya tidak sempat memindahkan barangan tersebut kerana tidak berniaga semalam (kelmarin).
“Ini kali pertama banjir melanda kawasan ini (pada tahun ini). Pada tahun lepas, berlaku sekali bah di sini tetapi tidaklah seteruk ini,” katanya yang sudah 24 tahun berniaga.
Dalam kejadian bencana alam itu, Mohamad Hit mengalami kerugian kira-kira RM10,000.
Sementara itu, pemandu lori, Mohd Nor Zakaria, 52, yang membawa muatan dari Ulu Tiram, Johor Bahru ke sebuah kedai di bandar ini terpaksa berpatah balik kerana jalan utama sudah ditenggelami air banjir lebih dua meter.
“Saya tidak boleh tunggu lagi kerana biasanya banjir akan surut dalam masa tiga hingga tujuh hari. Tiada lori atau treler yang berani mengambil risiko meredah banjir untuk ke bandar,” ujarnya.
Seorang kontraktor, Tan Hong Ming, 66, pula memberitahu, banjir mengambil masa lama untuk surut kerana kedudukan bandar ini yang rendah dan menerima limpahan air dari kawasan berdekatan.
“Kalau hujan lebat berterusan tidak mustahil banjir teruk pada tahun 2006 dan 2007 boleh berlaku lagi pada tahun iin,” katanya.
ko meredah banjir,” ujarnya.
















