Mohd. Rosidi menunjukkan produk keluaran syarikatnya di Tasik Gelugor baru-baru ini.

Rosidi nekad bersara awal bangunkan jenama M’Dee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUTTERWORTH – Bila mana kepuasan diri lebih dirasai ketika mengoperasikan perniagaan berbanding kerjayanya sebagai pendidik telah membuatkan seorang pensyarah dan juga bekas guru muzik di sebuah sekolah rendah mengatur langkah kanan untuk meneruskan misinya menjadi seorang usahawan.

Sebelum ini, pemegang Ijazah Sarjana dalam bidang Instruksi Multimedia dari Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd. Rosidi Abdul Rashid telah berniaga secara sambilan lebih daripada 20 tahun dengan menjual burger dan char kuetiau.

Bersandarkan minat yang begitu mendalam, anak jati Bukit Mertajam ini nekad mengambil keputusan bersara awal memberi tumpuan untuk memba­ngunkan empayar perniagaannya sendiri iaitu MDee Prima Sdn. Bhd. (MDee Prima)

Syarikat yang berpangkalan di Tasik Gelugor dekat sini telah beroperasi sejak lapan tahun lalu dengan menawarkan pelbagai produk sos, pes dan perencah makanan di bawah jenama M’Dee.

Mohd. Rosidi, 55, berkata, produk awal daripada kilang yang dimilikinya sendiri adalah sos dan perencah char kuetiau dengan menggunakan resipi serta ramuannya sendiri.

“Produk ini saya jual secara kecil-kecilan pada peringkat awal dalam skala yang kecil selain mempromosikannya kepada rakan, jiran dan ahli keluarga seterusnya kepada komuniti setempat.

“Sambutan yang diterima adalah baik ketika itu dan penge­lua­ran telah dipertingkat secara berfasa sehingga sekarang,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di kilangnya baru-baru ini.

Berkat kesabaran serta ke­gigihan bapa kepada tiga cahaya mata ini, barisan produknya te­lah semakin bertambah dengan tawaran perencah untuk mi go­reng ma­mak, nasi goreng kampung dan sambal tumis serbaguna.

“Semua produk M’Dee dijual pada harga mampu milik iaitu antara RM7 hingga RM10 kecuali pes dalam bentuk paket iaitu antara RM1.80 hingga RM2 sahaja,” katanya yang kini dibantu oleh enam pekerja lain.

Tambah Rosidi, lebih utama, kesemua produk keluarannya te­lah mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Menurut beliau, strateginya juga terus mengena apabila produk jualannya bukan sahaja mendapat tempat di platform online tetapi juga secara offline.

Produk M’Dee telah berjaya menembusi rangkaian pasar raya besar seperti Mydin dan Lotus serta beberapa pasar raya terpi­lih termasuk TF Value-Mart, Lulu dan juga Longwan di seluruh negara selain kedai runcit sejak empat tahun yang lalu.

“Produk M’Dee juga pernah dipasarkan Singapura sebelum ini, namun atas beberapa kekangan tertentu, ia terpaksa dihentikan buat sementara,” katanya yang menerima bantuan dan soko­ngan perniagaan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Majlis Amanah Rakyat dan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang.

Mengulas mengenai aspek penge­luaran produk pula, Mohd. Rosidi menjelaskan, ia meningkat hampir setiap tahun dengan pengeluaran boleh mencecah kepada 10 hingga 15 kali ganda mengikut musim perayaan atau permintaan pelanggan.

Sebagai contoh katanya, sos char kuetiau yang berjaya dihasilkan sehingga 500 botol pada peringkat awal kini bertambah kepada lebih 6,000 botol sebulan dalam masa beberapa tahun sahaja.

Lebih menarik, Mohd. Rosidi berkata, perolehan jualan juga pernah direkodkan sehingga le­bih daripada setengah juta ringgit dalam setahun.
Peningkatan jualan produk bergantung kepada beberapa faktor dan ia berkait rapat de­ngan keadaan ekonomi semasa, musim perayaan, permintaan pelanggan dan tawaran daripada promosi menarik yang dianjurkan syarikat.

“Dari segi saingan pula, ia tidak menjadi masalah bagi syarikat kerana persaingan yang sihat memberi satu cabaran dan daya saing buat kami.

“Kami memiliki keunikan tersendiri berbanding produk pesaing lain di pasaran dan bersandarkan testimoni daripada pelanggan, ia berjaya memperkukuh jenama M’Dee di pasaran,” ujarnya.

Sentiasa berinovatif untuk menguasai pasaran semasa, MDee Prima sedang menghasilkan beberapa produk baharu dengan melakukan kajian dan pembangunan yang berkua­liti.

Terbaharu adalah produk ­berasaskan sambal se­perti sambal ikan talang, petai dan tempoyak di bawah jenama baharu iaitu MDeelicious.

“Saya juga sedang mencari pengedar atau ejen baharu yang berminat untuk membantu memasarkan produk kami selain meluaskan penguasaan pasaran pada masa depan,” ujarnya.

Jelas Mohd. Rosidi, bagi mempelbagaikan strategi promosi, pihaknya melakukan demonstrasi penyediaan makanan menggunakan produk M’Dee di beberapa pasar raya yang sering menjadi tumpuan ramai. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN