PADA awal Disember lalu, Malaysia dikejutkan dengan kehilangan seorang kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang kemudian digemparkan pula dengan penemuan mayatnya di Apartment Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya.
Kes kehilangan Zayn Rayyan pada mulanya ditularkan di media sosial oleh ibu kanak-kanak tersebut, lantas dilaporkan oleh media massa sehinggalah penemuan mayat kanak-kanak itu.
Pada masa ini, polis masih menjalankan siasatan di samping mengesan pelaku tersebut.
Semoga keadilan kepada adik Zayn Rayyan dapat ditegakkan.
Sewaktu mengikuti dari awal kehilangan Zayn Rayyan, orang ramai melalui media sosial melahirkan rasa simpati dan berharap kanak-kanak itu ditemui segera.
Bagaimanapun, selepas mayatnya ditemukan dan menjadi kes siasatan polis, tiba-tiba sahaja ada segelintir pengguna media sosial ini menghukum, mengecam sehingga tergamak menghamburkan kata-kata tidak sepatutnya.
Mereka yang tidak berhati perut ini seolah-olah mengambil kerja dan siasatan polis, membuat andaian sendiri sehingga ada yang menyalahkan pihak-pihak tertentu sekali gus mengguris hati keluarga mangsa.
Tidak sanggup mendengar kata-kata hinaan tersebut, datuk mangsa turut memuat naik hantaran di Facebook memohon orang ramai menghentikan kenyataan tidak benar terhadap anaknya iaitu ibu Zayn Rayyan.
Perbuatan seperti suka menghukum, menghina, mencerca, mengutuk secara melampau ditambah dengan penggunaan perkataan tidak sepatutnya antara kebiasaan yang dapat dilihat di dalam komen-komen sewaktu melayari media sosial.
Kadangkala hairan juga dengan sikap segelintir netizen ini mengeluarkan kata-kata sedemikian seolah-olah mereka tidak pernah buat salah atau dosa, bahkan seperti berbangga apabila dapat menyakiti individu lain yang tidak disukai.
Bukankah setiap amalan dan perbuatan di dunia ini, kelak akan ditanya oleh Allah di akhirat nanti.
Begitu juga setiap kata-kata yang mengguris hati, menghina dan mencerca pihak tertentu juga akan dipersoalkan oleh Yang Maha Esa.
Segelintir berperangai sedemikian menaip komen dan hantaran seperti itu seolah-olah mereka bakal hidup lama hingga lupa ada syurga dan neraka yang menanti balasan untuk mereka.
Seperti dinyatakan oleh pendakwah bebas, Dr. Kamilin Jamilin, kadangkala mereka yang melakukan perbuatan seperti mengungkapkan atau menulis perkataan dirasakan okay tanpa menyedari sebenarnya telah menzalimi dan menyakiti orang lain.
“Mungkin juga kita banyak berkata atau menghukum sesuatu yang kita tak tahu. Kita seronok komen dan mengulas sedangkan kita tak tahu hakikat sebenar. Mungkin kita adu domba, mengumpat dan fitnah.
“Hasilnya kita akan dicampak jauh ke dalam api neraka kerana satu perkataan kita,” katanya baru-baru ini.
Beliau turut memetik sabda Nabi Muhammad SAW di dalam hadis riwayat Bukhari yang bermaksud, boleh jadi seorang hamba itu mengucap kalimah mengundang kemurkaan Allah, tanpa dia peduli tentang implikasi baik atau buruknya, maka dia akan dicampakkan jauh ke api neraka jahanam.
“Kadang-kadang kita rajin solat jemaah, qiamullail, berpuasa, bersedekah, berzakat, mengaji, berzikir dan mengerjakan amalan soleh. Kita cuba jaga amal, tapi kita tak jaga lisan. Hasilnya kita akan muflis di akhirat kelak.














