MASIH segar dalam ingatan pemuda itu ketika dia dan rakan-rakan bergotong-royong di kebun kecil di kawasan rumah anak yatim yang mereka huni.
Ketika itu, mereka bukan hanya menanam makanan sendiri seperti jagung, kacang panjang, ubi keledek dan sebagainya tetapi juga beberapa pokok buah-buahan.
Merupakan alumni rumah anak yatim, Rumah Bakti Datuk Harun, Bahaman Abas, 58, memberitahu, walaupun ketika itu dia masih kecil, belajar cara berkebun merupakan aktiviti yang turut mengajar dirinya tentang kemahiran baharu di samping memberi keseronokan.
“Membesar dalam rumah anak yatim tidak sama macam di luar. Kami mempunyai jadual harian yang tersusun dengan pelbagai aktiviti selain menjalani rutin harian seperti bersekolah, solat jemaah, riadah dan belajar.
“Pada hujung minggu pula, semua penghuni akan bergotong-royong membersihkan kawasan rumah anak yatim dan pada masa sama turut diselitkan aktiviti berkebun untuk memanfaatkan kawasan kosong di tempat kami,” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.
Tambahnya yang menetap di Rumah Bakti Datuk Harun dari tahun 1976 hingga 1983, pengalaman membesar di rumah anak yatim banyak mengajar dirinya tentang pengurusan diri dan disiplin untuk menempuh kehidupan di luar.
Katanya yang berasal dari Sungai Buloh, Selangor, walaupun membesar tanpa bapa, banyak perkara yang dipelajari sepanjang hidupnya adalah impak daripada kehidupan di rumah anak yatim.
Kini, dia kembali ke Rumah Bakti Datuk Harun kerana turut terlibat dengan aktiviti berkaitan rumah anak yatim tersebut termasuk membantu mengusahakan kebun atau dusun komuniti lebih luas yang baru diwujudkan di situ.
Rumah Bakti Datuk Harun merupakan sebuah penempatan untuk anak yatim di bawah Pertubuhan Pendidikan Anak Yatim Selangor.
Mula membuka pintu kepada anak yatim pada tahun 1976, rumah anak yatim ini dibina atas sebidang tanah seluas 1.7 hektar di Mukim Hulu
Kelang yang diwakafkan mantan Menteri Besar Selangor, Allahyarham Datuk Harun Idris dan isteri, Datin Salmah Suleiman.
Menurut Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Anak Yatim Selangor, Datuk Mohd. Fahmi Ibrahim, sepanjang operasi Rumah Bakti Datuk Harun, pihak pertubuhan telah melaksanakan pelbagai usaha untuk membela kebajikan penghuni khususnya dan anak-anak yatim di Selangor amnya.
“Sejak pertubuhan ini ditubuhkan pada tahun 1960 hingga kewujudan Rumah Bakti Datuk Harun, fokus kita adalah untuk memberikan kehidupan sebaiknya buat anak-anak yatim di negeri ini.
“Daripada modul harian hingga infrastruktur dan fasiliti, kita sentiasa berusaha memenuhi keperluan membesar anak-anak yatim termasuk melatih kemahiran kendiri mereka dengan aktiviti antaranya berkebun,” katanya.
Tambah beliau, kemudahan di Rumah Bakti Datuk Harun turut disediakan mengikut keperluan semasa terutama dari aspek pendidikan.
Dalam aspek kemahiran kendiri pula, anak-anak yatim turut didedahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk berbudi kepada tanah melalui berkebun.
“Berkebun telah menjadi salah satu aktiviti yang diterapkan kepada penghuni Rumah Bakti Datuk Harun sejak awal ditubuhkan, dahulu pernah ada kebun kecil, namun terpaksa ditebang bagi memberi laluan kepada pembinaan asrama baharu.

“Namun begitu, di sekitar kawasan rumah anak yatim turut terdapat pelbagai pokok buah ditanam penghuni terdahulu yang kini membesar subur dan membuah hasil,” ujarnya.
Berdasarkan hal itu, maka, lahirlah idea untuk mewujudkan semula satu kebun atau dusun komuniti di kawasan asrama itu.
Kebun itu kini diusahakan oleh ahli jawatankuasa pertubuhan itu yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Dusun Komuniti dan Pengurusan
Kawasan, Pertubuhan Pendidikan Anak Yatim Selangor, Dr. Abdul Aziz Zakaria.
Memulakan tanaman baharu di kawasan seluas 0.8 hektar bersebelahan asrama penghuni, Abdul Aziz memberitahu, projek dusun atau kebun komuniti itu dilaksanakan pada tahun 2017 sebelum dilancarkan pada 2018.
“Projek dusun atau kebun komuniti dilaksanakan bagi memberi pendedahan kepada penghuni rumah anak yatim tentang sektor pertanian sebagai salah satu cara untuk menjana pendapatan atau kerjaya di dunia luar.
“Pada masa sama, kami di pihak jawatankuasa juga mahu mendidik mereka tentang bagaimana untuk menghasilkan sumber makanan menerusi penamanam sayur dan herba yang digunakan dalam penyediaan makanan di sini,” ujarnya.
Tambah beliau, dari segi penglibatan penghuni asrama anak yatim, di peringkat awal ini, mereka hanya akan terlibat dalam aktiviti gotong-royong membersihkan kebun secara mingguan, diikuti penanaman sayur selepas ini.
Dari segi aspek penanaman buah, kebun komuniti ini telah menanam pelbagai jenis pokok buah antaranya aneka baka durian seperti musang king, D24, IOI, udang merah dan lain lain.
Buah lain yang turut terdapat di kebun komuniti adalah nangka, rambutan, kelapa dan sebagainya.
Dalam menguruskan kebun komuniti pula, Abdul Aziz memberitahu, sistem pengairan telah dipasang di sekitar kebun bagi memberikan taburan air yang diperlukan buat setiap pokok buah.
“Kita ada sumber air bawah tanah yang dikumpul dalam sebuah tangki untuk menyiram pokok-pokok menerusi sistem pemercik yang dipasang.
“Tidak hanya itu, kebun ini turut mempunyai sistem pengesanan kadar kelembapan tanah yang digunakan untuk memantau tahap air bagi memastikan pokok-pokok ini subur dan membesar dengan baik,” kongsinya.
Jelasnya lagi, untuk perancangan jangka panjang, kebun komuniti turut akan menambah jenis-jenis pokok buah lain dan juga tanaman sayuran serta herba.














