KLANG – Keluarga penunggang motosikal yang maut digilis treler selepas terjatuh setelah terlanggar lubang pada Sabtu lalu layak menyaman pihak terlibat kerana secara jelas terdapat unsur cuai dalam aspek keselamatan jalan raya.
Pemeriksaan mendapati, lubang di lokasi nahas yang meragut nyawa Allahyarham Syed Asnan Sayed Mokhtar, 37, di Batu 5, Jalan Meru itu sudah lama dibiarkan tanpa pemantauan pihak berwajib sehingga memasuki laluan kenderaan awam.
Difahamkan, terdapat lima kes kemalangan berlaku di lokasi sama sebelum ini.
Penasihat Persatuan Mangsa Kemalangan Jalan Raya Malaysia, Azlan Sani Zawawi berkata, mengikut prosedur operasi standard (SOP) bahu jalan berada di bawah tanggungjawab pihak yang menyelenggarakan jalan tersebut.
“Penandaan jalan di lokasi nahas juga tiada sehinggakan kita tidak dapat membezakan jalan dan bahu jalan. Lubang (lokasi kemalangan) juga makin besar dan memasuki laluan utama.
“Penduduk di Meru sendiri mengakui lubang itu sudah lama wujud. Jadi kami menyokong jika keluarga mahu memulakan prosiding undang-undang terhadap pihak berkaitan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Beliau memberitahu, pihaknya akan membantu dari sudut teknikal seperti SOP turapan, spesifikasi jalan dan aduan penduduk sebelum ini bagi memastikan keadilan ke atas Allahyarham Syed Asnan dapat ditegakkan.

Jelasnya, pihak peguam memerlukan maklumat lengkap bagi memulakan prosiding itu. Asek teknikal menjadi faktor pemberatan dalam sesuatu penilaian kes dalam prosiding mahkamah.
Setakat ini, persatuan itu membantu 35 kes tuntutan mangsa kemalangan melibatkan struktur jalan termasuk lubang.
Daripada jumlah itu, 28 kes berjaya memenangi tuntutan berjumlah RM20,000 dan RM30,000.
“Selebihnya, tujuh kes gagal dimuktamadkan kerana mangsa meminta tuntutan tidak munasabah dan tidak dipersetujui pihak yang dituntut. Kita perlu ikut SOP antaranya mangsa memiliki lesen memandu dan cara pemanduannya,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau secara peribadi kesal dengan kaedah tampalan yang dibuat di lokasi kemalangan pada Sabtu lalu yang dianggap bagai melepaskan batuk di tangga.
“Laluan dari Pelabuhan Klang ke Meru sudah uzur dan tidak diselenggara dengan baik. Tambahan pula ia kerap digunakan oleh jentera berat seperti lori dan treler,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan kematian seorang kerani yang digilis treler selepas terjatuh setelah terlanggar lubang besar di Klang mendorong ahli keluarga mangsa untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berwajib.
Kemalangan tragis yang berlaku pada pukul 9 pagi itu meragut nyawa Allahyarham Syed Asnan yang ketika itu dalam perjalanan dari rumahnya di Puncak Alam untuk ke tempat kerja di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.















