fbpx
Tikus pelbagai saiz berjaya ‘dibanteras’ dengan menggunakan lastik berpelurukan bebola timah.

K2

Komuniti lastik haiwan perosak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERTEMANKAN lampu suluh yang diletakkan pada bahagian kepalanya, Zulkifli Mat Jusoh, 54, fokus mencari tikus-tikus yang berkeliaran di sekitar kawasan pembuangan sampah.

Di tangannya, dia menggenggam erat sebilah lastik. Sebaik sahaja ada tikus-tikus yang muncul, dengan pantas getah lastik ditarik dan bebola timah yang dijadikan sebagai ammo atau peluru akan dilepaskan.

Sudah menjadi kebiasaan buat Zulkifli jika ada masa terluang dia akan menyertai rakan-rakannya yang lain dari komuniti Slingshot Malaysia untuk melastik haiwan-haiwan perosak.

Pada tengah malam sehingga awal pagi itu, dia bersama rakan-rakan yang lain telah melastik tikus di sekitar kawasan Desa Pandan, Kuala Lumpur.

“Saya sertai aktiviti melastik ini sejak setahun yang lalu setelah mengetahui akan kewujudan komuniti ini.

“Aktiviti ini bukan sekadar memberi ruang kepada saya untuk mengisi masa lapang, tetapi dalam masa yang sama dapat membantu masyarakat untuk membasmi haiwan perosak,” katanya kepada K2.

Tambahnya, aktiviti itu juga turut memberi nostalgia waktu kecil kepadanya memandangkan lastik adalah permainan yang sering dimainkannya ketika kecil.

Mengulas lanjut, Zulkifli mengakui untuk melastik haiwan perosak seperti tikus bukanlah sesuatu yang mudah.

Ini kerana, haiwan kecil itu mempunyai kepantasan dalam bergerak.

“Tikus ini pantas bergerak untuk menyorok ke dalam lubang jika ia merasa terancam.

“Di situ kepantasan dan ketepatan kita akan teruji sama ada kita dapat melastiknya atau tidak,” jelasnya.

Kepantasan dan ketepatan amat diperlukan dalam melastik tikus-tikus ini.

Kumpulan komuniti dinamakan Slingshot Malaysia ini mengumpulkan peminat-peminat lastik yang turut menjadikan melastik haiwan perosak sebagai salah satu aktivitinya. – FARIZ RUSADIO

Malah, seseorang yang melastik juga tidak boleh teragak-agak untuk melepaskan peluru bagi memastikan tikus itu tidak terlepas.

Sementara itu, Zulkifli berkata, selain tikus haiwan perosak lain yang selalu dilastik olehnya adalah burung gagak.

“Burung gagak ini boleh dikatakan setiap hari saya melastiknya.

“Ini kerana, di kawasan perumahan saya mempunyai banyak burung gagak tidak kira siang ataupun malam,” terangnya.

Sementara itu, Aminuddin Saad, 65, turut berkongsi hobi yang sama dan dia menyertai aktiviti melastik haiwan perosak pada malam tersebut.

Menurutnya, setelah bersara dia ada mengusahakan kebun di tepi sungai dan haiwan perosak sering mengganggu.

“Saya kembali aktif dengan aktiviti lastik ini adalah untuk membasmi haiwan-haiwan perosak.

“Di kebun saya banyak haiwan perosak seperti biawak yang mengganggu ternakan ikan keli dan baja-baja yang saya simpan di kebun.

“Jadi ketika di kebun, saya akan menggunakan lastik bagi membasmi haiwan-haiwan ini,” katanya.

Tambahnya, sejak itu dia semakin suka dengan aktiviti lastik yang sering dilakukannya ketika kecil.

Disebabkan itu, Aminuddin tidak melepaskan peluang untuk menyertai komuniti tersebut dan sering bersama mereka jika ada aktiviti-aktiviti membasmi haiwan perosak.

Menitipkan pesan, Aminuddin menjelaskan, keselamatan adalah aspek yang harus diutamakan dalam melakukan aktiviti ini.

Oleh itu, seseorang itu perlu melihat kawasan sekeliling sebelum melastik terutamanya di kawasan awam.

“Jika kita yakin bahawa sasaran kita boleh kena, barulah kita melepaskan lastik tersebut,” terangnya.

Dalam pada itu, Pengasas Slingshot Malaysia, Mohammad Samsul Fitri Nordin berkata, kumpulan itu telah ditubuhkan pada tahun 2018 dan ia menjadi platform untuk komuniti-komuniti lastik berkumpul.

Menurutnya, kumpulan itu juga menjalankan beberapa aktiviti berkaitan lastik merangkumi lastik sasaran, lastik ikan dan lastik haiwan perosak.

“Bagi lastik haiwan perosak ini kami fokus kepada tikus, burung gagak dan juga tupai.

“Di Kuala Lumpur, ada beberapa tempat yang mempunyai banyak tikus dan oleh itu kami menganjurkan aktiviti seperti ini. Selain dapat berkumpul, kami juga sama-sama dapat membasmi haiwan perosak ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohammad Samsul menjelaskan, untuk melastik haiwan perosak seperti tikus juga mempunyai kesukaran yang tersendiri.

Ini kerana, haiwan itu banyak di kawasan-kawasan urban yang mempunyai banyak rumah dan kereta.

Namun begitu, mereka mempunyai prosedur operasi standard (SOP) sendiri ketika melakukan aktiviti ini.

“Untuk melastik tikus, SOP yang harus kami ikuti adalah menggunakan peluru bebola timah atau peluru tanah liat.

“Ini kerana, peluru jenis ini tidak melantun dan lebih selamat, individu yang melastik juga diwajibkan untuk melastik aras bawah sahaja dan tidak dibenarkan untuk melastik aras mendatar atau pun atas,” jelasnya.

Aspek keselamatan juga amat dititikberatkan apabila aktiviti ini dijalankan kerana haiwan perosak itu juga mempunyai bahayanya yang tersendiri.

Sebagai contoh, tikus membawa jangkitan kuman dan setiap individu yang melastik dinasihatkan untuk tidak bersentuhan terus dengan haiwan tersebut.

“Kita meminta untuk mereka menyediakan sarung tangan, penyepit dan juga pencuci nyahkuman sewaktu aktiviti ini dilakukan.

“Pengendalian yang teliti amat dititikberatkan bagi memastikan mereka tidak dijangkiti virus-virus berbahaya daripada haiwan itu,” kata Mohammad Samsul.

Sementara itu, dalam aspek waktu operasi, untuk haiwan-haiwan perosak seperti tikus, burung gagak dan tupai semuanya mempunyai waktu berbeza untuk dilastik.

Tikus misalnya hanya aktif pada waktu malam dan kebiasaannya aktiviti melastik haiwan itu akan bermula pada pukul 12 tengah malam hingga 3 pagi.

Bagi burung gagak pula, waktu aktifnya adalah pada sebelah pagi dan tengah hari, manakala tupai, haiwan ini selalunya aktif pada awal pagi dan lewat petang.

“Tikus selalunya begitu aktif pada lewat malam dan akan keluar apabila kawasan itu sunyi sepi.

“Pernah pada satu malam sahaja kami pernah melastik lebih 40 ekor tikus,” jelas Mohammad Samsul.

Lanjutnya lagi, pada musim buah mereka juga sering mendapat permintaan daripada pemilik-pemilik dusun untuk melastik tupai di kebun mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN