LOS ANGELES, CALIFORNIA – Pergaduhan berlaku ketika pelakon Hollywood berbangsa Yahudi, Gal Gadot mengadakan tayangan video serangan Hamas pada Rabu lalu.
Laman berita Wion News melaporkan, filem berdurasi 43 minit berjudul Bearing Witness itu kononnya memaparkan rakaman serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.
Bagaimanapun, keganasan meletus di luar lokasi tayangan rakaman itu. Video yang dikongsi di media sosial memaparkan dua kumpulan bertelagah di luar Muzium Toleransi LA di Pico Boulevard.
Laporan mendapati Gadot tidak menghadiri tayangan rakaman itu. Pelakon filem Wonder Woman itu berdepan tindak balas negatif di media sosial kerana menyokong pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Menurut majalah The Hollywood Reporter, kira-kira 200 orang hadir pada tayangan itu di tengah-tengah kawalan keselamatan yang ketat.
Seorang pegawai tentera Israel, duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan eksekutif Hollywood adalah antara yang dilaporkan menghadiri acara itu. – AGENSI














