fbpx
Gambar hiasan

Review menarik indah khabar dari rupa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Mempamerkan gambar produk berkualiti tinggi dan ratusan review memberangsangkan adalah taktik ampuh yang digunakan segelintir peniaga untuk menarik minat pembeli secara dalam talian.

Situasi ini jelas dibuktikan apabila barangan yang diterima pelanggan dikatakan hanya indah khabar daripada rupa sehingga merugikan ratusan ringgit.

Seorang pelajar institusi pe­ngajian tinggi (IPT), Irdina Nabilah Mohd. Rafai, 23, berkata, dirinya pernah menjadi mangsa penipuan pembelian secara dalam talian beberapa kali, namun pa­ling terkesan apabila ditipu pe­niaga di aplikasi Instagram.

“Saya membeli dua pasang baju abaya di Instagram. Pada mulanya saya teruja barang itu sampai tetapi alangkah hampa­nya saya apabila melihat barang yang diterima tidak sama seperti dipromosikan di laman tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Tambahnya, apa yang membuatkan dia bertambah marah apabila penjual terbabit bertindak menyekat nombornya di WhatsApp serta Instagram sehingga menyukarkan proses menuntut ganti rugi.

Irdina Nabilah berkata, dia ada menyemak ulasan daripada pembeli terdahulu melalui rua­ngan komen.

“Pengikut di Instagram penjual tu memang banyak siap ada kata-kata yang meyakinkan lagi, sebab itu saya yakin dia ‘trusted seller’,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pengguna Zulhaiqal Zulkefli, 27, mengakui dirinya termakan dengan kata-kata penjual ketika menonton jualan secara langsung di TikTok.

“Dalam live, penjual promosikan beberapa kasut bundle jenama mewah sambil menunjukkan keadaan kasut tersebut kepada penonton yang ikuti sesi siaran langsung.

“Apa yang boleh saya katakan, nampak keadaannya seperti 90 peratus masih elok, bila tanya peniaga di ruang komen dia pun jawab kasut ini masih ada kualiti yang baik dan saya terus membuat pembayaran.

“Tetapi bila saya dapat, keadaan kualiti kasut sangat teruk dan tak boleh dipakai, akhirnya dibiarkan sahaja dalam stor,” ujarnya.

Katanya, apa yang membuat dia tertarik untuk membeli adalah koleksi kasut tersebut sudah tidak dijual di pasaran selain harga ditawarkan lebih murah dari kebiasaan.

“Saya beli sebab dia koleksi ‘rare’, dekat kedai pun dah tak ada jual. Lagipun saya minat simpan koleksi lama, jadi bila ada peniaga yang jual, saya ambil keputusan untuk segera dapatkan tanpa fikir panjang.

“Harga yang dijual juga lebih murah bawah RM200, kalau di kedai mungkin lebih RM300,” jelasnya.

Selain itu, pelajar IPT yang mahu dikenali sebagau Nurmashitah, 22, turut berkongsi pernah mengalami kerugian ratusan ringgit melibatkan pembelian minyak wangi dari sebuah jenama tempatan popular.

Katanya, peniaga memperincikan maklumat minyak wangi tersebut yang mampu bertahan selama lebih lapan jam, namun apabila digunakan, Nurmashitah merasakan seperti tertipu.

“Peniaga kata minyak wangi ini tahan lama, bau wangi, tapi bila saya guna bau sangat tidak menyenangkan, bau pun cepat hilang, rasa tertipu.

“Tambah pula, bau dia macam ada bau hamis sikit hujung-­hujung tu, tak selesa bila saya pakai. Apa yang merugikan, saya beli sampai empat botol, ko­nonnya nak beri hadiah kepada

kawan-kawan, tetapi rasa malu pula bila bau dia boleh dikatakan busuk, dan akhirnya saya buang sahaja,” luahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN