PETALING JAYA – “Anak saya hampir setiap malam meracau dan mengigau selepas dicabul guru taekwondo, malah ketika solat pun fikirannya masih terganggu.”
Itu pendedahan ibu kepada kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun yang menjadi mangsa cabul seorang guru taekwondo dalam kejadian di Shah Alam pada 28 Oktober lalu.
Ibu mangsa yang dikenali sebagai Ani memberitahu, selepas kejadian hitam tersebut, anaknya juga tidak mahu berenggang dengannya kerana begitu trauma.
“Perkara itu terbongkar apabila anak saya memberitahu mengenai perbuatan tidak senonoh guru terbabit selepas selesai solat berjemaah di rumah kami pada malam Rabu lalu.
“Selepas mengetahui kejadian itu, saya berasa amat ralat dengan apa yang telah terjadi kerana pusat mengajar seni mempertahankan diri itu sangat bagus.
“Saya juga kecewa kerana kelas taekwondo yang saya anggap boleh membantu anak untuk pertahankan diri, rupanya ‘lubuk’ perkara tidak senonoh,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Menurutnya, berdasarkan pendedahan mangsa, suspek telah mengajaknya masuk ke dalam tandas konon untuk membetulkan tali pinggang.
Katanya, di dalam tandas tersebut, lelaki itu telah menggunakan telefon bimbit untuk merakam ‘adegan’ tidak senonoh sehingga anaknya ketakutan.
“Setelah perkara ini terbongkar, saya telah memberitahu ibu bapa pelatih lain menerusi pesanan dalam kumpulan WhatsApp, namun telah disingkir daripada kumpulan itu setelah percubaan kali kedua memaklumkan hal yang sama.
“Ada ibu bapa yang menghantar mesej WhatsApp secara peribadi dan di situlah baru saya tahu ada lima lagi kanak-kanak yang menjadi mangsa cabul cikgu terbabit.
“Bagaimanapun, setakat ini hanya tiga daripada mereka tampil membuat laporan polis berhubung perkara itu,” ujarnya.
Ani berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pelaku terbabit atas perlakukan kejinya terhadap kanak-kanak bawah umur.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pengajar seni mempertahankan diri terbabit telah dicekup pada Khamis lalu selepas dipercayai mencabul empat kanak-kanak perempuan.
Katanya, suspek berusia 20 tahun ditahan kira-kira pukul 4 petang di sebuah pasar raya di daerah ini selepas menerima laporan daripada ibu kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun.
“Berdasarkan laporan, mangsa pertama itu telah dicabul oleh suspek semasa berada di dalam tandas di pusat mempertahankan diri tersebut,” katanya.
Menurutnya, polis juga menerima tiga lagi laporan daripada tiga mangsa berbeza dan kesemua mangsa adalah kanak-kanak perempuan yang berumur antara 7 hingga 9 tahun.
Katanya, kesemua kejadian cabul itu berlaku sekitar September hingga Oktober lalu.
“Suspek telah menjadi tenaga pengajar seni mempertahankan diri selama setahun,” ujarnya.
Tambahnya, suspek yang juga pelajar sebuah kolej swasta di Lembah Klang kini direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Naqiuddin Nawawi di talian 012-3848103.














