fbpx
MASJID Darul Murtadha yang tular ini terbina di Kampung Telok, Sungai Petani, Kedah.

Masjid Darul Murtadha mesra musafir, kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGAIKAN satu fenomena, Masjid Darul Murtadha yang baru dibuka enam bulan lalu di Kampung Telok di Sungai Layar, Sungai Petani, Kedah menjadi tumpuan apabila tidak putus-putus dikunjungi orang ramai dari seluruh negara.

Masjid yang dibina dengan kos kira-kira RM7 juta itu dengan rekaan dalaman diinspirasikan masjid dari Eropah sentiasa dipenuhi pengunjung yang tidak melepaskan peluang menunaikan solat serta mengikuti kelas agama di situ.

Pada setiap Sabtu, masjid tersebut biasanya sesak dengan jemaah yang datang untuk beribadah termasuk menghadiri kuliah dhuha.

Apa yang menarik, jumlah jemaah dalam kalangan kanak-kanak juga ramai dengan bilangannya semakin bertambah dari hari ke hari.

Sambutan itu adalah hasil inisiatif Murtadha Dakwah Centre (Madad) yang memperkenalkan masjid berkonsepkan mesra kanak-kanak dalam usaha menarik golongan tersebut untuk mengimarahkan masjid.

Menepati konsep itu, banyak kemudahan disediakan untuk golongan tersebut seperti taman permainan di tepi ruang solat utama, bilik aktiviti dan bilik bacaan.

Selain itu, mereka juga berpeluang menyertai latihan sukan memanah dan melawat taman kucing yang terletak di pekarangan masjid berkenaan.

Pengarah Urusan Madad, Ustaz Mohammad Yaakub Yusra Mohd. Yusof berkata, jumlah pengunjung dan jemaah yang datang ke masjid semakin bertambah meskipun projek lain dalam pembangunan keseluruhan Pusat Komuniti Islam Madad di kawasan seluas 544,419 kaki persegi itu sedang giat dibangunkan.

Katanya, dianggarkan rombongan daripada lebih 100 bas akan datang mengunjungi Masjid Madad pada setiap bulan.

“Alhamdulillah, jumlah pengunjung yang datang dari serata negara ini terus bertambah. Ramai yang datang bersama keluarga iaitu dengan membawa bersama anak masing-masing.

“Kami sangat menggalakkan mereka membawa anak-anak kecil untuk sama-sama beribadah kerana ini adalah masjid mesra kanak-kanak.

Banyak kemudahan disediakan untuk anak-anak kecil termasuk taman permainan,” katanya ketika ditemui Panorama baru-baru ini.

Ujarnya, terdapat juga bilik aktiviti untuk kanak-kanak mewarna serta bermain alat permainan dan kuiz dengan diawasi petugas Madad sementara ibu bapa mengikuti kuliah agama.

“Selain itu, kita juga menubuhkan Geng Budak Masjid pada Julai lalu bagi menggalakkan kanak-kanak solat berjemaah di masjid.

“Kita memberikan duit belanja sebanyak RM5 kepada setiap kanak-kanak yang datang solat Subuh berjemaah. Ia kerana kita mahu wujudkan rasa suka dan teruja dalam diri kanak-kanak ini untuk datang ke masjid,” jelasnya.

Katanya, selepas solat, kumpulan itu boleh melakukan aktiviti lain seperti memanah dan bermain dengan kucing di rumah kucing terletak berdekatan.

Sementara itu, menurutnya, pihak masjid turut menyediakan makanan sehingga lebih 3,000 orang selepas kuliah dhuha pada setiap Sabtu.

“Kumpulan memasak Madad memasak sendiri makanan untuk semua jemaah yang hadir. Lauk yang menjadi hidangan seperti gulai pisang, kurma daging, ayam masak merah, ulam-ulaman dan sambal belacan,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak membenarkan Masjid Madad untuk mempunyai akaun simpanan kerana mahu semua duit yang disumbangkan orang ramai dapat terus dimanfaatkan sepenuhnya.

Dalam pada itu, kata beliau, pada masa ini, kemudahan yang telah siap dalam pembangunan pusat komuniti Islam berkenaan ialah masjid yang boleh menampung kira-kira 1,500 jemaah dalam satu masa, taman kucing, dewan kahwin dan tempat sukan memanah.

“Projek lain seperti asrama tahfiz, hab sukan sunah meliputi sukan memanah dan berkuda, stadium e-sukan, menara ilmu falak, muzium metaverse Rasulullah SAW, rumah warga emas dan pasar Madad dalam proses pembinaan,” katanya.

Taman Kucing menjadi salah satu tarikan di pekarangan Masjid Darul Murtadha.

Ujarnya, stadium e-sukan yang dijangka siap hujung tahun hadapan menyasarkan penyertaan daripada golongan belia.

“Stadium e-sukan ini terletak bersebelahan masjid yang mana pengunjung stadium itu diwajibkan solat berjemaah apabila masuk waktu solat dan menyertai aktiviti keagamaan lain di masjid.

“Selain kanak-kanak, kita juga mahu tarik lebih ramai golongan muda untuk mengimarahkan masjid ini. Selain e-sukan, mereka juga boleh bermain sukan sunah seperti memanah dan berkuda,” katanya.

Tambah menarik, katanya, masjid berkenaan juga mesra musafir apabila menyediakan kemudahan 32 bilik hotel kapsul iaitu 24 bilik individu dan lapan kelamin secara percuma sehingga maksimum tiga hari.

“Mereka boleh datang berjumpa dengan kakitangan Madad untuk urusan penginapan di hotel kapsul ini,” jelasnya.

Katanya, fenomena masjid itu dapat merancakkan lagi sektor pelancongan serta perniagaan penduduk setempat di kawasan sekitar termasuk di Tanjung Dawai.

“Selain Masjid Madad, sebuah lagi masjid yang turut mendapat kunjungan ramai ialah Masjid Al-Busyra di Merbok juga di Sungai Petani kira-kira 15 kilometer dari sini,” katanya.

Mengulas lanjut kunjungan orang ramai ke masjid Madad, rombongan lebih 25 bas memenuhi masjid itu pada 7 Oktober lalu dengan kumpulan yang hadir adalah Komuniti Desa Tanjung dan Hawa Masjid Al-Ihsan Kariah Kampung Tupai, Sik.

Rombongan lain adalah dari Biro Hal Ehwal Muslimat Masjid Abdullah Fahim dan Muslimat Surau Taman Sri Nibong, Pulau Pinang; Kumpulan

Guru Pencen dan Surau Kampung Oran, Mata Ayer, Perlis serta Talkin Bandar Baru Putera dari Ipoh, Perak.

Kongsinya, pembinaan masjid sebagai sebahagian daripada pusat komuniti Islam itu merupakan impian arwah abangnya yang merupakan pendakwah bebas, Allahyarham Mohd. Murtadza.

Arwah yang dikenali sebagai Ustaz Murtadza meninggal dunia pada usia 30 tahun selepas terlibat kemalangan jalan raya pada Januari 2018.

“Madad berusaha membangunkan pusat komuniti ini demi pembangunan ummah dan masyarakat sekeliling yang mana ia bukan hanya terikat kepada masjid semata-mata tetapi juga pendidikan, kebajikan dan riadah.

“Kita jalinkan kerjasama dengan banyak pihak antaranya hospital yang datang melakukan pemeriksaan kesihatan selain Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mengadakan Hari Pendaftaran Negara ke-75 di masjid ini baru-baru ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN