ALOR SETAR – Jenazah Allahyarham Sulaiman J. S. Abuanza, 23, masih sempurna dan wajahnya tidak terjejas walaupun telah tiga hari terbunuh akibat menjadi mangsa penembak tepat rejim Zionis yang menyerang Gaza tanpa henti baru-baru ini.
Jasad penuntut Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU) itu ditemui oleh ahli keluarganya selepas bedilan Israel sejak 7 Oktober lalu di sempadan Gaza berhenti.
Pensyarah AIU, Osaid N.A. Abdaljawwad berkata, kejadian itu menyebabkan hasrat Allahyarham untuk datang ke Malaysia bagi menyambung pengajian tidak kesampaian.
Katanya, Sulaiman sempat bertanya kepadanya dan rakan-rakan jika hendak memesan sesuatu dari Gaza sebagai hadiah untuk dibawa pulang ke kampus minggu ini.
“Tiga hari sebelum terbunuh, Sulaiman ada hantar mesej bertanya jika ada sesiapa mahu pesan barang dari Gaza.
“Banyak kali dia hubungi kata dia sudah mahu meninggalkan Gaza. Allahyarham akan singgah ke Mesir untuk pembedahan lasik mata sebelum datang ke Malaysia,” katanya.
Semalam Kosmo! melaporkan seorang penuntut AIU maut pada hari jadinya akibat bedilan Zionis di sempadan Gaza.
Menurut pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Perniagaan itu, ahli keluarga memaklumkan mayat Sulaiman ditemui oleh keluarganya tiga hari selepas kejadian tersebut di kawasan yang dikawal tentera Zionis.
Tambahnya, keluarga Allahyarham memaklumkan ketika itu mereka nampak wajah jenazah sempurna kerana Sulaiman mati syahid.
Ujar Osaid, serangan sejak 7 Oktober lalu telah mengakibatkan hampir 3,000 rakyat Palestin terbunuh.
“Arwah sudah tiga tahun berada di Malaysia dan pulang ke kerana rindu untuk bertemu keluarganya di Rafah,” katanya.
Menurut Osaid, seramai 17 pelajar Palestin belajar di AIU dan sembilan berasal dari Rafah.
Sementara itu, rakan Sulaiman, Ahmed Mohamed Ali Alnanai, 22, mereka reda dengan kejadian itu.
“Kali terakhir kami bertemu beberapa hari sebelum Sulaiman pulang ke Gaza. Kami seperti adik-beradik dan kini salah seorang sudah terkorban,” katanya.














