fbpx
asyikin menunjukkan kepelbagaian kuih bulan yang dihasilkannya di Tapah, Perak.

Warna-warni ‘wajah’ unik kuih bulan halal aneka corak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

USAI membakar 500 biji kuih bulan pada petang itu, Nur Asyikin Moham Jafar, 30, dan suaminya, Ruzaini Azri Rosdi, 31, mencapai beberapa balang lutsinar yang diletakkan di atas sebuah meja panjang.

Tangan mereka kemudiannya mula memasukkan dan menyusun kuih-kuih tersebut ke dalam balang-balang.

Balang tersebut kemudiannya ditampal dengan label perniagaan kuih bulan milik mereka dan sedia untuk dipos kepada pelanggan.

Begitulah rutin hujung minggu wanita yang mesra disapa sebagai Asyikin itu sejak empat tahun lalu.

Dia yang mengusahakan perniagaan kuih bulan Mooncake Halal Syikin yang berpangkalan di Tapah, Perak itu mengakui seronok apabila manisan yang dihasilkan mendapat permintaan tinggi, khususnya dalam kalangan penggemar kuih bulan.

Kuih bulan merupakan makanan tradisi masyarakat Cina dan paling banyak ditempah bagi meraikan perayaan pertengahan musim luruh.

Apa yang menarik tentang kuih bulan dihasilkan Asyikin sehingga ‘diburu’ pelbagai media dan stesen televisyen baru-baru ini ialah keunikan rupa bentuknya yang berwarna-warni, variasi corak dan perisa.

Melihat kuih bulannya yang menarik dan comel sungguh mengujakan.

Kuih bulan sering dihasilkan dalam tiga perisa dominan di pasaran seperti kacang merah, biji teratai dan kuning telur masin. Kulit luarnya biasanya berwarna coklat keperang-perangan, manakala bentuknya pula bulat atau segi empat sama dengan motif bunga Cina atau tulisan Cina.

Tempahan kuih bulan disiapkan dengan bantuan suaminya.

Namun, bagi mencipta sedikit kelainan dan memberikan lebih banyak pilihan kepada penggemar manisan itu, Asyikin menghasilkan kuih bulan aneka bentuk dan perisa unik.

“Antara bentuk yang saya hasilkan termasuklah bunga, ikan duyung dan juga bentuk serangga seperti kupu-kupu dan kumbang.

“Bagi pilihan perisa pula, buat masa ini, saya menawarkan 12 perisa menarik seperti tiga perisa yang biasa didapati di pasaran dan juga perisa yang merupakan inovasi saya sendiri seperti pandan, matcha, coklat dengan coklat putih, coklat dengan kopi dalgona dan juga coklat dengan karamel,” ujarnya kepada K2.

Bercerita tentang bagaimana dia mula berniaga kuih bulan, Asyikin berkata, idea tersebut datang daripada ibu mentuanya.

“Ibu mentua sebelum ini pernah belajar membuat kuih bulan halal, namun ia tidak dipasarkan atau dijual.

“Selepas saya memutuskan untuk kembali menetap di kampung di Tapah, Perak, maka saya memutuskan untuk mula menjual kuih bulan.

“Ternyata, ia terus menjadi punca pendapatan kami sekeluarga sehingga hari ini,” katanya.

Mengakui bukan yang pertama menghasilkan kuih bulan halal, namun Asyikin berkata, bilangan kuih bulan halal di pasaran sebenarnya masih kecil dan adakalanya sukar untuk dicari, menjadikan dia yakin untuk menceburi bidang ini.

“Kuih bulan halal memang sudah ada dihasilkan, namun adakalanya ia sukar dicari, khususnya di kawasan-kawasan tertentu.

“Oleh sebab itu saya nekad menghasilkan sendiri kuih bulan saya dengan versi sedikit berbeza,” katanya.

Kuih bulan dihasilkan Asyikin mempunyai pelbagai bentuk termasuk bunga dan haiwan seperti ikan duyung dan lebah.

Malah, kuih bulan Asyikin juga mendapat permintaan yang tinggi biarpun di luar musimnya kerana wanita itu turut mengambil tempahan bagi majlis-majlis tertentu seperti majlis sambutan hari lahir dan juga cenderahati majlis perkahwinan.

Ujar Asyikin, biarpun kuih bulan yang dihasilkannya sedikit berbeza dengan sedia ada di pasaran, setakat ini, dia tidak menerima komen negatif daripada orang luar berkenaan warna dan rekaan pada kuih bulan yang dihasilkannya.

Dia juga masih mengekalkan ciri-ciri kuih bulan.

“Rata-rata pelanggan amat menyukai inovasi baharu ini kerana memberikan mereka lebih banyak pilihan dari segi rekaan dan juga perisa.

“Malah, orang Cina dan India turut menempah daripada saya apatah lagi resipi kuih bulan saya dikatakan kurang manis.

“Justeru, saya melihat ada pasaran besar terhadap kuih bulan halal yang dihasilkan ini,” katanya.

Asyikin menzahirkan rasa syukur kepada ibu mentuanya yang menjadi tulang belakangnya selama ini dalam mengusahakan perniagaan kuih bulan halal itu.

Malah, suami Asyikin juga banyak membantunya dalam menyiapkan tempahan kuih bulan yang diterimanya.

“Sebelum ini, kami tinggal berjauhan memandangkan suami masih menetap dan bekerja di Kuala Lumpur.

“Namun, dia kemudiannya berhenti kerja dan membantu saya secara sepenuh masa. Dalam masa sehari, paling banyak yang kami berdua pernah hasilkan adalah sehingga 7,000 biji kuih bulan bagi memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.

Semua kuih bulannya ditawarkan dalam enam set dengan setiap perisa berbeza.

Tambah menarik, Asyikin bukan saja hasilkan kuih bulan bersaiz biasa (100 gram), tetapi juga bersaiz mini (25 gram). Set kuih bulannya berharga dari RM28 hingga RM40 mengikut saiz dan rekaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN