Di Malaysia, ada dua perkara yang sangat dinantikan oleh rakyat negara ini. Dua perkara ini bukan sahaja penting, malah sentiasa memberi perasaan berdebar yang sangat tinggi.
Perkara pertama adalah berkenaan pengumuman tarikh 1 Syawal, iaitu hari penting umat Islam bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri.
Detik ini cukup istimewa kerana apa juga keputusannya, ia tetap diraikan dengan perasaan gembira dan bersyukur.
Perkara kedua pula yang sentiasa dinantikan oleh rakyat Malaysia ialah berkisar tentang pengumuman bajet atau belanjawan oleh kerajaan.
Siapapun kerajaan yang memerintah, pengumuman bajet yang rutinnya dibuat pada hari Jumaat, bulan Oktober setiap tahun adalah satu pengumuman berskala mega.
Pengumuman bajet ini adalah cukup penting untuk menentukan dasar dan hala tuju perbelanjaan negara meliputi semua aspek termasuk kebajikan rakyat, ekonomi dan pembangunan.
Pada Jumaat ini bersamaan 13 Oktober 2023, satu lagi pengumuman Bajet 2024 akan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan.
Ironinya, ia adalah pengumuman bajet kali kedua di bawah Kerajaan Perpaduan dengan intipatinya adalah Memperkasa Ekonomi Madani.
Bagaimanapun, pengumuman Bajet 2024 kali ini dibuat ketika rakyat berdepan dengan pelbagai isu kos sara hidup terutamanya melibatkan kenaikan harga, kekurangan bekalan makanan di pasaran dan ekonomi yang tidak menentu.
Justeru, harapan tinggi sangat dinantikan oleh kira-kira 32 juta rakyat negara ini, bermula dari penduduk yang tinggal di ceruk pedalaman di Pitas, Sabah sehinggalah kepada kumpulan kelas atasan di ibu negara.
Semua rakyat tidak kira peringkat ekonomi mahu melihat satu pengumuman besar yang mampu dinikmati oleh mereka.
Antara golongan rakyat yang paling mengharap adalah kumpulan M40, iaitu dalam kalangan isi rumah berpendapatan pertengahan bermula RM4,851 hingga RM10,970 sebulan.
Di Malaysia, jumlah ini merangkumi 40 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia dengan majoriti mereka tinggal di bandar-bandar besar dan bekerja dalam pelbagai bidang di sektor kerajaan dan swasta.
Selain menjadi antara penyumbang kepada sektor percukaian negara, golongan M40 ini juga mempunyai kuasa membeli yang konsisten sehingga mampu mewujudkan rantaian dalam mengukuhkan ekonomi setempat.
Persoalan kini, adakah kerajaan akan memberi ‘hadiah besar’ untuk sekurang-kurangnya menyelamatkan poket M40 yang semakin sesak ataupun golongan ini akan terus kekal mengharapkan kepada inisiatif potongan cukai semata-mata.
Harus diingat, tidak semua M40 menikmati kesenangan seperti yang disangka, kerana ada yang mungkin lebih sengsara daripada kumpulan B40.














