Industri pelancongan kini terus melalui fasa transformasi yang ketara bertujuan memenuhi perubahan gaya hidup masyarakat bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.
Pandemik menjadi pencabar utama kepada sektor berkenaan kerana ia telah ‘memisahkan’ masyarakat untuk meneroka, bercuti dan mengembara ke destinasi yang mereka minati.
Klook, platform yang menawarkan perkhidmatan pelancongan dan pengalaman utama di Asia juga terkesan dengan cabaran pandemik tetapi ia tetap fokus menyusun strategi untuk terus menguasai industri ini dengan cara tersendiri.
Bulan September lalu, Klook yang dioperasikan oleh dua anak muda, Ethan Lin sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama syarikat serta Ketua Pegawai Operasi yang juga pengasas bersama, Eric Gnock Fah, telah menganjurkan sambutan hari jadi syarikat yang kesembilan melalui tawaran mega yang bernilai lebih daripada AS$9 juta (RM42.12 juta) untuk meraikan semua para pelanggan dan peminatnya.
Misi mereka juga adalah untuk mendekat dan menghubungkan semula semua orang dalam industi pelancongan.
“Pada awal penubuhan Klook, kami sememangnya mahu menjadikan ia sebagai sebuah syarikat bertaraf global dan tidak menyasarkan tempoh tertentu bila akan dicapai.
“Kami melihat pencapaian kami masih lagi di peringkat pertengahan dan pandemik antara faktor yang telah melambatkan kami mencapai misi tersebut.
“Tetapi untuk beberapa tahun akan datang, kami akan bergerak lebih pantas,” jelas Gnock Fah dalam satu temu bual eksklusif bersama Kosmo! baru-baru ini.

Kosmo!: Boleh jelaskan mengenai kempen sambutan hari jadi Klook ke-9, tahun ini?
Eric: Sambutan hari lahir Klook tahun ini bersesuaian dengan musim percutian menjelang hujung tahun ini.
Kami memperuntukkan hadiah dan tawaran bernilai sehingga AS$9 juta di seluruh dunia yang telah berlangsung pada bulan lalu. Terdapat diskaun dan tawaran mega daripada 14 destinasi popular.
Pelanggan juga boleh berjimat sehingga 80 peratus daripada pembelian dan boleh digunakan untuk sebarang aktiviti pada masa depan atau tempahan hotel. Kami juga melancarkan Klook Kreator Program yang menyenaraikan sehingga 1,000 pempengaruh bertujuan memberi idea, berkongsi pengalaman dan review kepada orang ramai mengenai pengalaman bercuti dalam kandungan di platform media masing-masing.

Boleh jelaskan prestasi Klook selepas 9 tahun beroperasi dengan cabaran berdepan pandemik yang telah menjejaskan sektor pelancongan di seluruh negara?
Industri kini kembali pulih secara berperingkat dan Klook telah mencatat rekod pertumbuhan yang baik sehingga kini seiring dengan inisiatif kami menyambut hari lahir syarikat pada bulan September.
Perniagaan syarikat telah mencecah AS$3 bilion (RM14.04 bilion) dalam nilai tempahan kasar tahunan yang mana ini menunjukkan syarikat berada pada kedudukan yang kukuh dalam industri ini.
Daripada nilai tersebut, berapakah peratusan sumbangan dari pasaran Malaysia?
Kami tidak memiliki statistik yang spesifik tentang data tersebut tetapi bagi rantau Asia Tenggara, ia menguasai satu pertiga daripada perniagaan keseluruhan, sama juga dengan sumbangan dari China, manakala bakinya adalah daripada pasaran lain.

Apakah sasaran pertumbuhan syarikat untuk tahun depan?
Kami melihat pencapaian yang lebih baik pada tahun ini dan menjangkakan ia akan bertumbuh sebanyak tiga kali ganda.
Pada bulan September dan bulan seterusnya, saya yakin akan berlaku pertambahan jualan dipacu oleh kempen hari jadi Klook dan momentum tersebut akan berterusan sehingga akhir tahun seiring dengan musim cuti.
Secara semula jadi, kita akan lihat pertumbuhan itu akan berlaku tetapi saya tiada angka untuk diumumkan pada hari ini.
Mengapa syarikat menyambut hari jadi pada tahun ini bukan seperti mana-mana syarikat yang lebih suka memilih angka 10 (angka genap) untuk menyambut tarikh hari jadi syarikat yang ke-10?
Ini adalah tahun istimewa bagi Klook kerana misi kami adalah mendekatkan semua orang selepas kita semua terpisah hampir tiga tahun di negara masing-masing akibat pandemik. Secara kebetulan kami sambut tahun ini hari jadi syarikat ke sembilan tetapi pada tahun ke-10, mungkin sambutannya lebih istimewa lagi.
Bagaimana trend pelancongan selepas pandemik?
Kami lihat ada pelanggan yang berkunjung semula ke destinasi pelancongan yang mereka pernah lawati sebelum ini dan meneroka ke tempat pelancongan lain yang popular bagi melepaskan ‘rindu’ selepas tiga tahun yang memisahkan mereka daripada keluar melancong.
Ramai juga memilih Korea dan Jepun, itu adalah antara destinasi pelancongan kegemaran pelancong.
Apakah kebaikan bagi pedagang (merchant) yang bekerjasama dengan Klook?
Ia lebih baik bagi merchant kerana kami dapat menjimatkan perbelanjaan promosi dan pengiklanan mereka.
Sebagai contoh, jika sebelum ini Taman Safari di Bali melabur dengan jumlah yang banyak di China tetapi mereka tidak tahu bagaimana hasil yang diperolehi daripada pelaburan tersebut.
Jika mereka bekerjasama dengan kami, mereka akan hanya dikenakan komisen apabila ada tempahan daripada pelanggan. Kami lihat banyak merchant bekerjasama dengan kami, mereka dapat mengurangkan bajet promosi dan mereka hanya dikenakan caj apabila dapat tempahan.
Sebagai contoh, bagi sesesebuah syarikat besar, mereka boleh berjimat hampir 50 peratus dalam kos pengiklanan kerana kami yang akan buatkan iklan untuk mereka. -KOSMO!ONLINE














