fbpx
DJ ZA atau Rusliza Md. Saad dikenali ramai kerana sering bersiaran secara live di TikTok ibarat penyampai radio sebenar. Diuji dengan penyakit kelainan wajah Cavernous hemangioma of face menyebabkan sebelah kiri muka membengkak langsung tidak meragut keyakinannya untuk mencipta populariti dengan bersiaran bak seorang deejay di media sosial.

Urat leher, pipi DJ Za bengkak sehingga sukar bernafas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEPAT pukul 9 malam, wanita cekal itu memulakan siaran live menerusi saluran TikTok untuk menemani pengikut.

Bersiaran dengan dikenali sebagai DJ Za dalam kalangan pengikut, wanita kelahiran Pahang ini tidak pernah jemu menemani pengikutnya saban malam.

Susunan lagu-lagu cinta, jiwang Melayu dan sesekali lagu Bollywood itu menemani ribuan pengikutnya sambil diselangi rangkaian madah-madah kata positif yang cukup menenangkan sesiapa sahaja.

Dikurniakan suara yang begitu lembut dan merdu, ramai pengikut memuji bakat dan cara penyampaiannya yang persis penyampai radio sebenar di corong radio.

Sesekali di ruangan komen, ramai pengikut baharu yang meninggalkan persoalan dan tentunya soalan ‘wajib’ mereka tidak lain tidak bukan mengenai kelainan pada wajahnya.

Berpeluang menemu bual DJ Za atau nama sebenarnya, Rusliza Md. Saad baru-baru ini, wanita itu berkata, dia sudah terbiasa diaju soalan sedemikian dan hakikatnya dari situlah pengikut akan mengenali siapa dia yang sebenar.

“Saya cuma seorang insan biasa yang dipilih untuk hadir di dunia ini dengan diberikan anugerah kelainan daripada insan lain.

“Mengikut penceritaan arwah ibu, saya lahir normal sama seperti anak-anak lain, cuma ketika itu lidah saya berwarna biru.

“Pada masa itu ramai orang datang melawat ke rumah dan kagum serta cakap saya anak bertuah,” katanya membuka bicara bersama Aura.

Jelas DJ Za lagi, dia pernah menyuarakan dan bertanya kepada arwah ibunya mengenai apa yang berlaku, tetapi ibunya sekadar memberitahu bahawa dirinya reda dengan ketentuan takdir yang Allah anugerahkan.

MEMPUNYAI pengikut yang ramai di TikTok, DJ Za mempunyai peminat yang mengikutinya bersiaran.

Katanya, perubahan demi perubahan berlaku mengikut tumbesaran dan usianya sehingga wajahnya kemudian mula membengkak dan timbul beberapa urat saraf berwarna biru lebih-lebih lagi ketika menangis.

“Pun begitu, ia tidak langsung menjejaskan kehidupan harian. Saya boleh bermain, bersekolah dan bersukan sebagaimana kanak-kanak sebaya yang lain.

“Tahun 1978 ketika saya dilahirkan, perubatan ketika itu tidak lagi canggih seperti sekarang. Doktor kemudian menyatakan ini adalah penyakit Cavernous heamangioma of face, namun dianggap tanda lahir normal.

“Tidak ada rawatan susulan atau apa-apa cadangan untuk pemeriksaan lanjut ketika itu. Saya jalani zaman kanak-kanak sampailah dewasa,” katanya.

Meneruskan perkongsian, wanita berstatus ibu tunggal beranak empat ini memberitahu, dia bernikah buat kali pertama pada tahun 1999 ketika baru menginjak usia 21 tahun.

Ujarnya, pernikahan tersebut hanya mampu bertahan selama lima tahun dan berpisah selepas melakukan pembedahan penyakit yang dialami.

“Saya melakukan pembedahan ini selepas tiba-tiba menghadapi kesakitan seperti pembuluh darah berkocak dalam telinga sebelah kiri dan ia mendatangkan kesakitan yang amat setiap kali hendak tidur malam.

“Urat saraf dari leher hingga bibir bawah saya mula membengkak serta membesar dan secara tidak langsungnya pipi saya pun ikut membengkak.

“Saya mula mengalami kesukaran untuk bernafas dan menelan apa-apa sahaja makanan.

“Saya melakukan pembedahan di ibu kota dari pukul 7 pagi hingga 9 malam. Alhamdulillah walaupun pada awalnya doktor tidak beri apa-apa jaminan dalam pembedahan tersebut, namun 30 peratus daripada urat saraf yang berlebihan pada leher dan sebelah kiri wajah saya dapat dibuang.

“Doktor jelaskan tidak boleh buang semuanya sebab urat saraf tersebut berkait dengan organ mata, telinga, otak kiri, lidah serta bibir dan kalau buang semua, kemungkinan semua ni akan beku dan kaku,” tuturnya.

Kongsinya lagi, pernikahan kali kedua yang berlaku dua tahun selepas itu cuma bertahan selama setahun.

DJ ZA turut mengusahakan bisnes jahitan dan para pekerjanya terdiri daripada para wanita yang mahu menaikkan taraf hidup.

Katanya, selepas gagal dalam perkahwinan kali kedua itu, dia nekad membawa diri berhijrah bersama dua anaknya (suami pertama dan kedua) ke Kuala Lumpur bagi memulakan hidup baharu.

“Ketika itu, saya kerja dengan salah sebuah syarikat telemarketing dan di sebelah malamnya pula ambil upah menjahit baju.

“Alhamdulillah wang yang diperolehi dapat tampung kehidupan saya dan anak-anak ketika itu

“Niat saya asalnya tidak mahu lagi kahwin tetapi aturan Allah itu tetap ada dan saya berkahwin kali ketiga pada 2020, namun berakhir Jun lalu,” katanya.

Beritahunya, menerusi perkahwinan ketiga, dia dikurniakan dua orang cahaya mata dan keempat-empat anaknya semuanya kini dalam jagaannya.

“Saya adalah salah seorang asnaf di bawah Lembaga Zakat Selangor dan usahawan yang dibimbing oleh Teraju Ekonomi Asnaf Selangor (Teras).

“Saya sering dijemput untuk hadiri pelbagai kursus perniagaan. Jika terpaksa bermalam di tempat kursus, maka saya memang tidak akan live.

“Seronok menemani pengikut dalam ruangan TikTok Cinta bukan bermakna saya akan tinggalkan terus dunia jahitan yang telah sebati dengan diri hampir 30 tahun.

“Alhamdulillah dengan bantuan zakat dan Teras, saya dari tukang jahit di rumah sekarang mampu menyewa premis dan ada sebuah syarikat kecil, Za Tailoring Resources yang berpangkalan di Puncak Alam, Selangor,” katanya.

Menerusi perniagaan itu juga, dia bukan sahaja berhasrat mahu mengubah taraf hidup dirinya, tetapi memberi ruang asnaf lain mencari rezeki bersamanya.

“Boleh dikatakan pekerja-pekerja saya semuanya asnaf ibu tunggal. Alhamdulillah 3 Oktober nanti genaplah setahun saya membuka kedai jahit ini.

“Saya masih bertahan menerima semua jenis tempahan jahitan pukal dan individu.

“Daripada mula sekadar ada empat mesin jahit, kini saya telah menambah ke 15 buah,” katanya yang mengimpikan memiliki kilang jahitan pakaian sendiri dan bergelar penyampai radio sebenar di mana-mana stesen radio jika direzekikan satu hari nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN