Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mendedahkan bahawa keseluruhan nilai perpindahan pada jendela musim panas lalu adalah sebanyak £5.9 bilion (RM34.39 juta) sekali gus merupakan rekod baharu dicatatkan.
FIFA mengesahkan jumlah yuran perpindahan tersebut yang dilaburkan hanya untuk tempoh 1 Jun hingga 1 September lalu itu berjaya memecahkan rekod yang dicatatkan pada 2019 dengan peningkatan sebanyak 26.8 peratus (%).
Malah, jumlah keseluruhan yang dicatatkan pada jendela perpindahan kali ini meningkat sehingga 47.2% berbanding musim lalu, selain ia merupakan pertama kali dalam sejarah jumlah perpindahan melibatkan lebih 10,000 pemain di seluruh dunia.
Selain pengarah teknikal serta pasukan pemantau bakat kelab melalui hari-hari yang paling sibuk pada tempoh tersebut, ada beberapa lagi pihak yang turut terlibat dalam merealisasikan impian setiap kelab bagi mendapatkan pemain kegemaran mereka.
Ia sudah pasti melibatkan ejen-ejen dan agensi yang mengendalikan karier para pemain kerana sepanjang tempoh setahun, mereka hanya perlu bekerja keras bagi tempoh tiga bulan sahaja untuk mengumpulkan wang berlipat kali ganda.
Sebagai rekod, terdapat dua jendela perpindahan bagi sebahagian besar saingan liga bola sepak dunia iaitu bermula 1 hingga 31 Januari dan jendela paling popular bermula 1 Julai hingga 1 September setiap tahun.
Setiap ejen bertanggungjawab menjadi wakil dan pemudah cara bagi setiap klien mereka untuk menyampaikan keinginan terutama mengenai jumlah gaji dan tempoh kontrak bersama pasukan baharu selepas urusan yuran perpindahan dipersetujui oleh kedua-dua kelab.
Kebiasaannya, ejen akan dibayar mengikut komisen antara 3% hingga 5% berdasarkan nilai kontrak yang bakal diterima oleh klien mereka itu, maka anda boleh mengira sendiri berapakah jumlah yang bakal diterima ejen Cristiano Ronaldo, Jorge Mendes ketika pemain itu menandatangani kontrak bernilai £177 juta (RM1.02 bilion) semusim bersama Al-Nassr.
Mendes masih lagi dianggap antara super ejen dalam dunia bola sepak ketika ini apabila dia memiliki beberapa klien yang berprofil tinggi selain Ronaldo seperti Bernardo Silva, Fabinho, Angel Di Maria, David De Gea, Diego Costa, Thiago Silva dan Jose Mourinho yang memiliki kontrak mewah sekali gus membolehkannya meraih komisen yang cukup tinggi.
Perkhidmatan ejen bukan sahaja digunakan untuk sukan bola sepak sahaja, malah ia turut melibatkan beberapa sukan lain termasuk besbol, bola keranjang dan Bola Sepak Amerika Syarikat (NFL).
Laporan Forbes mendedahkan, ejen untuk pemain besbol menerima pendapatan lebih lumayan berbanding sukan lain apabila nama-nama seperti Scott Boras, Dan Lozano dan Joel Wolfe menguasai kedudukan lima teratas ejen yang berjaya mengaut keuntungan lumauan hasil urusan jual beli para pemain di bawah selain mereka.
















