PETALING JAYA – Pasangan yang baru berkahwin perlu memahami konsep ‘anak itu rezeki’ dan mempunyai perancangan yang baik bagi memastikan zuriat yang dilahirkan kelak mendapat penjagaan sewajarnya termasuk dalam aspek pendidikan.
Pensyarah Fiqh Fatwa Semasa di Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim berkata, fahaman tentang ‘anak itu rezeki’ juga perlu diperbetulkan kerana ia bergantung kepada tahap kemampuan ibu bapa.
Mohd. Izhar berkata, ibu bapa tidak boleh hanya tahu ‘meramaikan’ anak, tetapi pada masa sama anak-anak itu perlu beri pendidikan selain perbelanjaan harian, perubatan dan sebagainya.
“Allah SWT suruh kita berkahwin dan berusaha dapatkan anak, namun ia perlu berbalik kepada kemampuan dan perlu bijak dalam memahami konsep ‘anak itu rezeki’.
“Itu sebabnya dalam Islam ada hukum Tanzim al-Nasal iaitu hukum merancang keluarga dan mampu atau tidak, kamu yang tahu. Jadi, dibenarkan untuk merancang.
“Walaupun anak itu adalah rezeki, tidak bermakna kita boleh biarkan mereka dilahirkan tanpa usaha untuk menanggung atau memberi nafkah.
“Jika melahirkan anak yang ramai, kena bertanggungjawab pastikan mereka dapat pelajaran dan jagaan sewajarnya,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Jelasnya, oleh kerana itu, saranan pakar kewangan supaya merancang keluarga mengikut pendapatan isi rumah tiada salahnya.
“Cadangan tersebut tiada salahnya sebab pakar akan bercakap berdasarkan ilmu yang mereka ada, jadi kita kena sesuaikan dengan Islam agar tidak bercanggah dengan agama.
“Kena fikir kerja dan gaji kita, macam mana anak nak ke sekolah, pergi kerja siapa nak jaga. Semua perlukan perancangan kewangan yang betul. Jadi benarlah kita perlu ukur baju pada badan sendiri.
“Dalam masa sama, kena hati-hati jangan sampai kita kata anak ramai punca miskin, itu memang salah kerana anak-anak itu tetap rezeki daripada Allah, sama macam perkahwinan,” tegasnya.















