INDIVIDU yang kreatif dan berjiwa seni sering mencari kaedah untuk memberi nyawa baharu kepada barangan terpakai atau yang sudah tidak lagi boleh digunakan.
Lau Jing Xi, 27, sama sekali tidak menyangka dia mampu memberi nafas baharu kepada koleksi vinil atau piring hitam dan cakera padat milik keluarganya dengan menjadikannya sebagai hasil seni yang cantik.
Ujar Jing Xi, dia mula melukis pada cakera padat dan vinil itu secara tidak sengaja apabila ibunya meminta dia untuk melakukan sesuatu kepada koleksi piring hitam dan cakera padat yang rosak di rumahnya.
“Sebelum ini, saya belajar di Amerika Syarikat dan sekembalinya ke tanah air, dunia dilanda pandemik Covid-19 yang menyebabkan saya ‘terperangkap’ di rumah keluarga di Kuala Lumpur.
“Justeru, ibu saya mengambil peluang itu untuk mula mengemas rumah secara deep cleaning untuk membuang barang-barang yang sudah tidak lagi digunakan,” katanya.
Ibu Jing Xi kemudiannya menjumpai timbunan koleksi piring hitam dan cakera padat yang sudah rosak dan tidak lagi boleh digunakan.
Malah, ada juga antara cakera padat tersebut yang kosong memandangkan ia dibeli untuk digunakan sebagai simpanan digital.
“Memandangkan zaman sudah berubah dan muzik kini boleh didengari di internet sahaja, maka ibu meminta saya untuk memberikan ‘nyawa baharu’ kepada koleksi tersebut agar ia tidak dibazirkan atau dibuang begitu sahaja,” kongsinya yang kemudian mendapat idea untuk menjadikan koleksi tersebut sebagai hasil seni.
Bakat Jing Xi diterjemahkan dengan begitu baik dan halus menerusi lukisan di atas cakera padat dan piring hitam.

Malah, hasil seninya juga begitu unik sehingga boleh dikatakan, dia merupakan satu-satunya artis seni di Malaysia yang menggunakan alat tersebut sebagai kanvas lukisan.
Ujar anak kelahiran Kuala Lumpur itu lagi, dia sememangnya menyedari dirinya mempunyai bakat terpendam dalam bidang seni lukisan dan sebelum ini hanya menjadikannya sebagai hobi.
“Ketika membesar, saya sememangnya menyedari bahawa saya mempunyai bakat seni dan boleh melukis dengan baik.
“Begitu pun, saya tidak pernah menggunakan bakat tersebut secara serius, contohnya seperti menjana pendapatan menerusi lukisan yang dihasilkan atau sebagainya. Saya menganggapnya sebagai hobi pada masa lapang.
“Memandangkan semasa pandemik Covid-19 kita semua berada di rumah akibat sekatan perjalanan, maka dari situlah saya mula mencari peluang untuk lebih fokus melukis di atas cakera padat dan rekod vinil,” katanya.
Jing Xi berkata, melukis di atas permukaan yang licin seperti piring hitam dan cakera padat sememangnya lebih mencabar berbanding melukis di atas kanvas.
Justeru, dia perlu menggunakan jenis cat yang betul bagi memastikan warna cat itu melekat cantik di atas satu permukaan yang licin.
“Cat akrilik lebih sesuai digunakan atas permukaan yang licin seperti cakera padat dan piring hitam, malah warna yang dihasilkan daripada cat ini juga adalah lebih kekal dan tidak akan luntur.
“Namun, saya perlu berhati-hati juga apabila menggunakan cat jenis ini kerana saya tidak boleh menyapunya terlalu tebal kerana lapisan yang tebal akan menjadikan cat ini kelihatan bergumpal di atas permukaan yang licin, seterusnya menyebabkan lukisan yang dibuat itu nampak tidak cantik,” katanya.
Jika dilihat, motif pilihan gadis ini untuk diabadikan di atas cakera padat dan piring hitam kebanyakannya adalah motif atau lukisan berbentuk pemandangan.
Ini kerana, Jing Xi berkata, dia cukup meminati hasil seni pemandangan, lebih-lebih lagi jenis pemandangan yang tampak seperti sedang berada di alam mimpi.
Rona-rona lembut seperti rona pastel pula menjadi pilihan Jing Xi kerana menurutnya, ia menjadi signatur pada lukisan-lukisannya dan lebih melambangkan jiwanya.
Bergantung kepada jenis lukisan yang dihasilkan, Jing Xi berkata, satu lukisan biasanya mengambil masa antara beberapa jam sehingga tiga hari untuk disiapkan.
Koleksi cakera padat berseni Jing Xi dapat disaksikan menerusi Instagram @imagingnation.

Malah, selain menjual koleksi yang dihasilkan, gadis itu turut menjadi pengajar bengkel lukisan atas cakera padat.
“Selain menjual cakera padat dan piring hitam yang siap dilukis, saya turut menganjurkan kelas lukisan bertema yang terbuka kepada sesiapa sahaja yang mungkin berminat untuk mula melukis di atas cakera padat atau piring hitam.
“Ketika ini, tema bengkel saya adalah diambil daripada album dan lagu-lagu penyanyi terkenal, Taylor Swift.
“Hal itu kerana bintang tersebut ketika ini sedang menjelajah dunia menerusi konsert Eras tour dan saya tahu peminat Swift amat menyukai tema ini,” ujarnya.
Kongsi Jing Xi lagi, dia gembira apabila hobi baharunya itu turut menarik minat ramai orang yang mahu sama-sama belajar melukis di atas piring hitam dan cakera padat.
Biarpun terpaksa membahagikan masa antara kerjayanya sebagai seorang pegawai pemasaran digital dengan pelukis, Jing Xi tidak kisah kerana hasil seninya itu merupakan satu kepuasan buatnya.
“Bagi saya, penting untuk saya bijak membahagikan masa antara kerjaya dan juga hobi.
“Selalunya, saya akan tetap mencuri masa untuk melukis selepas penat bekerja kerana melukis memberikan saya ketenangan,” katanya.
Jing Xi juga mengalu-alukan orang ramai yang mungkin banyak mengumpul cakera padat dan piring hitam untuk mengitarkannya kepada satu produk lain dan tidak membuangnya begitu sahaja.














