KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya dua individu berusia bawah 18 tahun terpaksa menahan seksa kerana menjadi mangsa dera setiap hari di seluruh negara bagi tempoh Januari sehingga Julai tahun ini.
Dalam tempoh tersebut, kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun mencatatkan mangsa dera tertinggi dengan 195 kes, diikuti kanak-kanak berusia kurang satu tahun (173), seterusnya kanak-kanak berusia tujuh hingga 12 tahun (129).
Mendedahkan perkara tersebut, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, antara negeri yang merekodkan jumlah penderaan kanak-kanak tertinggi setakat Julai ialah Selangor dengan jumlah 191 mangsa.
Katanya, negeri kedua tertinggi ialah Johor (64), diikuti Pulau Pinang (32) dan masing-masing 27 mangsa di Kedah dan Perak.
“Penderaan kanak-kanak sekarang makin menjadi-jadi. Kategori paling banyak (didera) berusia dua hingga enam tahun, mencatatkan hampir 35 peratus. Mereka ini masih kecil dan tak mampu melawan. Teruk sangatkah kenakalan mereka hingga kita yang dewasa gagal kawal (emosi) sampai mencederakan?
“Pada umur mereka, apa provokasi dilakukan sehingga perlu dipukul sehingga mati? Saya perasan, kebanyakan masalah berpunca akibat suspek gagal mengawal kemarahan, kemudian melepaskan geram dan marah kepada kanak-kanak,” katanya ketika ditemui Kosmo!.

Mengulas lanjut, Siti Kamsiah memaklumkan, kebanyakan mangsa dera adalah lelaki iaitu sebanyak 310 orang, manakala perempuan pula 239 orang dalam tempoh Januari hingga Julai.
“Bagi perhubungan membabitkan anggota keluarga, bapa mencatatkan jumlah tertinggi sebagai suspek dera apabila jumlah dicatatkan sebanyak 83 orang selepas ibu (80).
“Seterusnya, penderaan melibatkan rumah pengasuh merekodkan 73 orang bagi pengasuh yang dikenali melalui jiran atau kenalan. Sementara itu, penderaan melibatkan guru mencatatkan guru tadika atau taska menjadi angka tertinggi dengan 29 orang.
Selain itu, Siti Kamsiah memaklumkan, gagal mengawal emosi dan baran kekal menjadi motif mengapa mangsa didera dengan mencatatkan 163 kes.
“Bila baran, mereka bertindak di luar kawalan walaupun hanya mendengar budak menangis. Ini maknanya mental tak stabil. Antara faktornya komitmen yang sangat banyak dan penglibatan dengan dadah, ini saling berkait hingga hilang kewarasan.
“Ada suspek yang beri alasan mereka cuba mendidik atau mengajar kanak-kanak menggunakan fizikal dan kekerasan.
“Sistem undang-undang dan agensi penguatkuasaan tidak mengambil alasan memukul untuk mendidik sebagai pembelaan sah dalam kes dera kanak-kanak.
Sehubungan itu, Siti Kamsiah menasihati ibu bapa serta penjaga agar menjaga had ketika mahu mengambil tindakan memukul bagi tujuan pengajaran dan tidak meninggalkan kesan secara fizikal mahupun mental.
“Mendidik perlu melihat tahap umur, jika pukul hingga cedera kita siasat di bawah mendatangkan kecederaan. Tak digalakkan pukul untuk tujuan mendidik, cara begitu sudah tidak boleh lagi, ada banyak cara untuk mendidik,” ujarnya.














