JAKARTA – Seorang calon wakil rakyat Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) di Indonesia mengundang kecaman orang ramai selepas mencetak namanya di atas sejadah yang dijadikan cenderahati dalam kempen pilihan raya, lapor program berita Liputan6 hari ini.
Dalam sebuah video yang dimuat naik di laman TikTok, seorang lelaki berkongsi gambar sejadah tersebut beserta nama calon yang ditutup dengan tangannya.
Calon DPRD wilayah Kalimantan Selatan itu mencetak ayat di atas sejadah yang bertulis: “Calon anggota DPRD Wilayah Kal-Sel.”
Individu yang memuat naik video tersebut meluahkan rasa kesal dan menyifatkan kempen calon itu tidak kena pada tempatnya.
“Contohnya jika saya sedang membaca surah Al-Fatihah, tiba-tiba terbaca nama calon tersebut. Saya tutupkan nama dan partinya,” katanya.
Tambah lelaki tersebut, dia berharap agar calon anggota dewan lebih prihatin terutamanya dalam memilih barangan untuk dijadikan alat berkempen.
Video tersebut menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen.
“Mengapa tutup namanya? Biar semua orang tahu siapa dia,” kata seorang netizen.
“Ini maksudnya mahu nama calon dan parti diselitkan dalam doa di setiap solat dan sujudmu,” kata pengguna lain secara sinis. – AGENSI