BENTONG – Keluarga mangsa nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Persiaran Elmina, Shah Alam menaruh harapan yang tinggi berikutan rakaman suara berjaya diekstrak kelmarin.
Adlina Aishah Ahmad Rusli, 41, berkata, sehingga kini, dia sekeluarga masih tertanya-tanya mengenai punca kejadian yang meragut nyawa suaminya, Allahyarham Idris Abdol Tali dan sembilan yang lain.
Menurut wanita itu, kejadian menyayat hati yang berlaku pada 17 Ogos lalu tersebut mengejutkan ahli keluarganya.
“Kami reda dengan kejadian yang menimpa arwah suami, tetapi keluarga juga hendak tahu apakah punca sebenar kejadian tersebut.
“Semoga rakaman 30 minit terakhir pesawat yang diproleh dapat merungkai kejadian yang berlaku,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Jelas wanita itu, selepas dua minggu insiden tersebut berlalu, dia sekeluarga tidak dimaklumkan mengenai penemuan CVR dan rakaman yang diperoleh.
Semalam, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata, kotak CVR milik pesawat ringan jenis Beechcraft Model 390 yang terhempas di Persiaran Elmina pada 17 Ogos lalu berjaya diperoleh.
Rakaman tersebut kemudian diserahkan kepada pihak berkuasa negara ini untuk tujuan analisis.
Secara keseluruhan, rakaman suara daripada CVR tersebut adalah jelas terutama membabitkan 30 minit terakhir sebelum nahas.
Sementara itu, hasrat sama turut dinyatakan adik Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, Norhikmah, 26, yang turut mahu mengetahui mengenai punca tragedi yang meragut dua pengguna jalan raya.
“Di pihak keluarga, kami memang tidak menjangkakan tragedi sedemikian boleh terjadi kerana ia melibatkan kenderaan darat (motosikal dan kereta).
“Saya rasa semua keluarga atau waris mangsa yang terlibat serta orang ramai mahu mengetahui akan punca pesawat tersebut terhempas. Ia (dapatan) juga untuk tujuan penambahbaikan pada masa akan datang.
“Ini bagi mengelakkan kemalangan sama tidak berulang lagi,” katanya.














