Kakitangan Klook Malaysia bergambar dalam satu majlis di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Klook teroka segmen pelancongan muzik, hiburan, perhotelan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Platform pelancongan, Klook optimis untuk mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju utama dalam bidang tersebut di beberapa negara di rantau Asia ekoran ini­siatif syarikat yang sentiasa mencari peluang untuk memenuhi keperluan dan permintaan trend terkini pelanggan.

Pengurus Besar pasaran Indonesia, Malaysia dan Singapura, Sarah Wan berkata, antara segmen terbaharu yang diceburi syarikat adalah perhotelan, pelancongan muzik yang melibatkan pembelian tiket konsert hiburan, filem dan juga pa­meran unik.

“Meneroka peluang baharu adalah usaha kami untuk memenuhi permintaan pelanggan sebab kita lihat selepas pandemik ramai yang sanggup ber­belanja besar untuk membeli tiket konsert dan festival muzik. Jadi kami telah melabur dalam bidang berpotensi itu.

“Semua perkara baharu ini pastinya menjadi rebutan ramai dan di situlah kami akan melabur untuk memenuhi permintaan pelanggan.

“Terbaharu kami telah menjual tiket untuk orang ramai me­nyaksikan konsert artis, Taylor Swift di Singapura pada bulan Mac tahun depan dan juga jualan tiket menonton filem seram, The Conjuring Universe di platform Klook,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Sarah menjelaskan, Klook kini memiliki kira-kira 10 segmen yang mana antaranya terdiri daripada destinasi tarikan dan percutian, pengalaman di taman tema atau taman air, menaiki kapal percutian, pengalaman kebudayaan dan mobiliti.

Kini syarikat telah menambah segmen baharu seperti tempahan hotel yang digan­dingkan dengan pakej pelancongan selain segmen pelancongan muzik.

Tambah beliau, buat masa ini, segmen pelancongan dan berkunjung ke destinasi tarikan popular menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan syarikat.

Antara destinasi popular pe­langgan yang menggunakan kemudahan Klook adalah Sunway Lagoon, Genting Skyworld dan juga Aquaria KLCC.

Sarah menjelaskan, bagi memenuhi permintaan dan pertambahan ahli Klook yang kini mencecah lebih 500,000 ahli dari seluruh negara, pihaknya optimis untuk menambah lebih banyak pedagang (merchant) dalam senarai kemudahannya kepada pelanggan.

Buat masa ini, Klook bekerjasama dengan lebih daripada 400 pedagang tempatan. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN