SUASANA Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, baru-baru ini sememangnya ‘hangat’ dengan perdebatan dan hujahan ahli politik di pentas-pentas ceramah.
Masing-masing mahu menunjukkan kehandalan dalam menyuarakan atau menjawab sesuatu isu selain mengkritik pihak lawan. Bermacam-macam cara dan gaya berbahasa digunakan termasuk membuat kritikan keras sehingga mencetuskan perbalahan sesama pemimpin.
Ada serangan dilakukan dalam bentuk kejian dan cacian terhadap individu tertentu.
Keadaan itu secara tidak langsung menggugat keharmonian hubungan antara pemimpin kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah bagi penggal kedua, baru-baru ini menyatakan hasratnya untuk membuka lembaran baharu hubungan antara kerajaan negeri dengan Persekutuan.
“Saya sudah bersedia untuk lembaran baharu. Kalau mereka (kerajaan Pusat) bersedia, alhamdulillah tetapi kalau mereka masih menyimpan di dalam hati, tak tahu lah.
“Mana boleh simpan dalam hati hal-hal pemerintahan kerajaan, urusan kena ikut prosedur kerajaan. Hal-hal hati mana boleh bawa masuk dalam itu,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN juga berharap agar rakyat Kedah tidak dihukum disebabkan pilihan dibuat pada PRN itu.
PRN Kedah menyaksikan PN memenangi 33 kerusi, manakala PH hanya menang di tiga kerusi.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, kerajaan negeri dan Pusat perlu menjalinkan hubungan baik dan harmoni demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri itu.
“Keputusan PRN telah diketahui dan apa yang terbaik adalah lupakan segala sengketa yang berlaku sepanjang PRN tempoh hari. Struktur kerajaan negeri sudah ada, MB dan barisan Exco sudah dilantik. Jadi jalankanlah tugas untuk rakyat dan negeri ini,” katanya.
Menurutnya, setiap kerajaan negeri sememangnya memerlukan perhatian daripada pemimpin kerajaan Pusat terutama membabitkan projek besar melibatkan kepentingan rakyat.
“Sebagai contoh, Kedah adalah sebuah negeri pertanian iaitu negeri Jelapang Padi yang sudah pasti memerlukan perancangan jangka panjang dan peruntukan besar bagi memajukan sektor itu.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menyatakan komitmen untuk menyediakan peruntukan RM3 bilion bagi menjayakan projek penanaman padi lima musim dalam dua tahun di negara ini. Jadi, saya yakin kerajaan Pusat tidak akan pinggirkan Kedah dalam perancangan itu,” ujarnya.
Selain itu, katanya, Kedah juga memerlukan perhatian daripada kerajaan Pusat dalam menangani isu bekalan air.
“Kita tahu sekarang ini projek menaik taraf bekalan air di Kedah sedang giat dijalankan. Saya percaya proses menambah dan menaik taraf loji rawatan air perlu dilakukan dari semasa ke semasa berikutan peningkatan jumlah penduduk.
Tambahnya, pemimpin pusat juga diharapkan dapat berlapang dada dengan menyambut huluran kerajaan negeri untuk membuka lembaran baharu.
“Pemimpin perlu bersikap profesional dalam semua perkara kerana kepentingan rakyat adalah mengatasi kepentingan politik. Jangan jadi seperti peribahasa gajah berjuang sama gajah, pelanduk mati di tengah-tengah,” katanya.














