fbpx
ORANG ramai beratur untuk mendapatkan tiket bas untuk pulang ke kampung bagi menunaikan tanggungjawab mengundi pada PRN di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur semalam. – FARIZ RUSADIO

144,000 tiket bas, 89 peratus tiket ETS balik mengundi habis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Aliran trafik menuju ke Pantai Timur dan negeri di Utara Semenanjung di­jangka sesak mulai hari ini apabila ramai perantau pulang untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) esok.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Plus Malaysia Berhad (Plus), dijangka kira-kira 1.9 juta kenderaan menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan mulai hari ini.

Pengurus Besar Kanan Operasi Plus Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata, pengguna akan menghadapi tempoh perjalanan lebih panjang berikutan peningkatan kenderaan di lebuh raya.

“Plus juga menghentikan sementara kerja penyelenggaraan, naik taraf atau pembinaan yang memerlukan penutupan lorong bermula 11 sehingga 13 Ogos ini.

“Kerja kecemasan se­perti pe­ngalihan kenderaan yang kemalangan, pembersihan lokasi kemalangan dan kerja pembaikan kritikal dikecualikan,” katanya.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi memberitahu, bagi lebuh raya Kuala Lumpur-Karak (KLK), sebanyak 160,000 buah kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya tersebut dengan peningkatan sebanyak 60 peratus berbanding hari biasa.

“Di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), bilangan kenderaan dijangka meningkat sehingga 51 peratus dengan purata trafik harian pada waktu puncak sebanyak 68,00 buah kenderaan bermula Jumaat ini,” ujarnya.

Tinjauan orang ramai pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan pada 12 Ogos di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini, semalam – FARIZ RUSADIO

Sementara itu, bagi pe­ngangkutan awam, kira-kira 144,000 tiket bas ekspres telah terjual bagi laluan Pantai Timur serta laluan ke Utara tanah air melibatkan beberapa syarikat yang bernaung di bawah Persa­tuan Bas Ekspress Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa).

Yang Dipertua Pembawa, Laili Ismail berkata, daripada jumlah itu, 80,000 tiket yang terjual adalah bagi laluan Kuala Lumpur ke Kelantan melibatkan perjalanan bermula semalam hingga 14 Ogos.

“Bagi perjalanan sempena PRN, perjalanan bermula hari ini (9 Ogos) sehingga 11 Ogos malam melibatkan perjalanan dari Lembah Klang menuju ke Pantai Timur dan Utara tanah air.

“Untuk perjalanan pulang semula ke Lembah Klang, trip bermula pada 12 Ogos sebelah malam sehingga 14 Ogos. Ke­semua trip melibatkan le­bih 600 buah bas,” katanya.

Suasana ‘perang’ bendera parti dan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan di Seremban, Negeri Sembilan.- MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

Dalam pada itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan, hingga semalam kira-kira 89 peratus tiket per­khidmatan tren elektrik (ETS) telah terjual.

Jelas KTMB, bagi perjalanan melibatkan sektor Padang Besar dan Butterworth pada 11 dan 13 Ogos tiket telah habis dijual,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN