fbpx
GAMBAR HIASAN

Jangan perlekeh kuasa undi rakyat dengan janji manis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP kali pilihan raya pasti meriah dengan janji-janji parti politik. Manifesto yang dibentangkan bagi tujuan menarik undi itu adalah proses biasa.

Semuanya berkaitan dengan ‘gula-gula’ pilihan raya, janji kayangan melibatkan jutaan ringgit ibarat tiada lagi hari esok.

Kita soroti beberapa tawaran parti politik kepada 9.6 juta pengundi di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu.

Di Selangor, Perikatan Nasional (PN) menjanjikan bantuan bulanan RM400 kepada 65,000 keluarga bagi memberi barangan keperluan asas, selain insentif RM500 kepada ibu bersalin.

Selain itu, 20 meter padu air percuma kepada keluarga berpendapatan RM15,000 ke bawah dan bantuan RM150 bayaran pengasuh.

Lebih menarik, tawaran gabungan Kerajaan Perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional di Kelantan yang menawarkan penghapusan tunggakan bil Air Kelantan Sdn. Bhd.

Bakal pengantin akan mendapat RM2,000, manakala ibu bersalin ditawarkan RM1,000.

Golongan pelajar bakal menerima insentif ‘one- off’ kepada anak Kelantan yang mendapat tawaran belajar di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, selain tiket percuma bas dan kereta api dua kali setahun. Mewahnya!

PH-BN di Pulau Pinang pula menawarkan bantuan RM1,000 diberikan kepada setiap jemaah haji B40 dan RM500 untuk pasangan pengantin baharu bagi meringankan beban setiap dari mereka.

Jika diamati satu-satu semuanya indah, bantuan kewangan, peluang pekerjaan, pembangunan yang banyak ditawarkan sangat menarik dan menepati golongan memerlukan.
Boleh gelap mata memilih.

Namun, adakah semua ‘janji’ ini berkesan dalam menarik undi, terutamanya bagi 4.9 juta pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun. Jumlah ini penentu kemenangan parti-parti bertanding.

Di sebalik ‘keangkuhan’ parti membentangkan manifesto, perlu diingat pengundi kita sangat cerdik, tidak mudah dimomokkan dengan tawaran kayangan.

Mereka telah melalui banyak pilihan raya dan banyak aku janji dibuat pemimpin yang akhirnya dibiarkan sepi.

Sehubungan itu, jangan perlekeh kuasa undi rakyat. Rekod buruk dan cemerlang sesebuah parti itu yang pernah memegang tampuk pemerintahan itulah yang dinilai.

Pemimpin dicari adalah mereka yang bijaksana, sentiasa agresif memperjuang dan menyelesai masalah rakyat, berpandangan jauh selain sentiasa bekerja bukannya pemimpin tenggelam timbul.

Kepada pengundi, sekalipun muak dengan politik, jangan perjudikan masa depan negeri, keluarlah mengundi.

Kepada pemimpin, jangan jadikan rakyat batu loncatan, parti yang menang jangan sia-siakan mandat sebaliknya laksana manifesto apabila berkuasa pada 12 Ogos ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN