fbpx
ADUWATI dari Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia menunjukkan sistem IoT yang dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik UPM yang dapat mencegah kebakaran hutan tanah gambut.

Sistem IoT cegah kebakaran hutan, tanah gambut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISU berkaitan kebakaran tanah gambut bukanlah sesuatu yang baharu.

Malah, saban tahun kita akan dihidangkan dengan berita kejadian kebakaran tanah gambut.

April lalu, Kosmo! melaporkan kejadian kebakaran tanah gambut seluas 50 hektar di Kampung Beris Lalang dan Kampung Beoh di Bachok, Kelantan.

Kejadian itu berlaku disebabkan cuaca panas yang berterusan.

Dalam pada itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang menerbitkan satu buku bertajuk Program Mencegah Kebakaran Tanah Gambut Untuk Mengatasi Jerebu Di Malaysia menerangkan bahawa kebakaran tanah gambut di dalam ekosistem tropika merupakan masalah alam sekitar yang utama di Malaysia serta Asia Tenggara.

Menurut JAS, kejadian kebakaran tanah gambut didapati sering berlaku pada setiap tahun khususnya ketika musim kemarau.

“Pembakaran biojisim tanah gambut menghasilkan habuk, abu, debu dan asap merentasi sempadan.

“Keadaan ini dilihat serius kerana jika tidak ditangani ia boleh memberi implikasi buruk kepada masyarakat dan persekitaran,” katanya.

Terangnya lagi, iklim dan cuaca menjadi faktor sokongan terhadap berlakunya kebakaran tanah gambut skala besar ketika musim panas.

Kekeringan dan kelembapan adalah parameter utama berlakunya kejadian kebakaran tanah gambut.

ADUWATI menunjukkan sistem IoT yang dibangunkan.

Dari Mei hingga September, Malaysia mengalami Monsun Barat Daya dengan keadaan cuaca kering diiringi tiupan angin, sekali gus membantu kebakaran tanah gambut lebih cepat merebak dan sukar dikawal.

Pembakaran secara terbuka mengakibatkan lebih banyak masalah khususnya pada musim kemarau.

Dalam usaha mencegah kebakaran tanah gambut terutamanya di kawasan hutan paya gambut, sekumpulan penyelidik di Universiti Putra Malaysia (UPM) menghasilkan inovasi sistem pemantauan berasaskan Internet Segala Benda (IoT).

Ketua penyelidik, Prof. Ir. Dr. Aduwati Sali dari Fakulti Kejuruteraan UPM berkata, inovasi tersebut dinamakan sebagai NET-PEAT: Networked ASEAN Peatland Forest Communities for Transboundary Haze Alert yang berfungsi memantau kawasan hutan paya gambut.

Menurutnya, ketika ini inovasi tersebut dipasang di tiga hutan paya gambut iaitu di Hutan Simpan Raja Muda di Selangor; Badas (Brunei) dan Jambi (Indonesia).

“Inovasi ini bertujuan menyebarkan, menganalisis dan memberi maklumat menggunakan sistem pemantauan hutan paya gambut berasaskan IoT untuk menghindari kebakaran hutan.

“Seperti yang kita tahu, kebakaran hutan yang tidak terkawal boleh menyebabkan jerebu di dalam negara dan juga rentas sempadan.

“Dari segi inovasi sosial, inisiatif ini adalah untuk masyarakat setempat kerana kita mahu mereka terlibat dalam pembangunan dan penggunaan sistem pemantauan berasaskan IoT,” katanya.

Tambahnya, inovasi tersebut dapat memberi manfaat kepada masyarakat apabila diterapkan di kawasan tanah gambut lain di negara ini.

Untuk makluman, kawasan hutan paya gambut sangat penting untuk kehidupan kerana potensinya dalam bidang kultur dan pertanian.

Bagaimanapun, aktiviti manusia seperti hapus dan bakar untuk urusan pertanian serta perladangan telah meningkatkan risiko kebakaran hutan.

Situasi ini akhirnya akan melepaskan gas rumah hijau dan karbon dioksida di atmosfera.

INOVASI yang dikenali sebagai NET-PEAT: Networked ASEAN Peatland Forest Communities for Transboundary Haze Alert ini telah mendapat beberapa pengiktirafan.

Bagi melestarikan dan mengurus paya gambut, sistem berteraskan IoT yang dibangunkan itu akan menggunakan konsep Sistem Cyber Fizikal (CPS).

Di dalam inovasi tersebut, sistem IoT akan dipasang di hutan paya gambut untuk memantau paras air dalam tanah (GWL).

Data berkenaan akan dihantar ke pelayanan untuk proses Machine Learning (ML).

Melalui inovasi tersebut juga, keadaan hutan paya gambut boleh dipantau dengan masa nyata dan risiko kebakaran hutan dapat dimitigasikan melalui pengautomasian pembasahan semula kawasan terjejas sebelum GWL mencapai paras kritikal.

Aduwati menjelaskan, sistem IoT dipasang pada kedalaman 1.8 meter di hutan paya gambut sebagai sensor yang akan memantau air dalam tanah (GWL) dan data berkenaan akan di hantar ke pelayan yang dikenali sebagai LoRa untuk mengukur kelembapan keadaan tanah.

“Teknologi ini dibangunkan dengan sistem IoT untuk mengoptimumkan pemantauan dan pengurusan alam sekitar.

“Ia bagi memudahkan komuniti memahami ekosistem dan menganalisis data iklim yang terkumpul.

“Penubuhan stesen cuaca atau menara di dalam sistem ini pula bertindak sebagai sistem pencegahan amaran awal.

“Ia bertujuan mengesan kehadiran haba di kawasan hutan paya gambut serta menjadi indikasi kepada zon merah,” jelasnya.

Tambahnya, buat masa ini sistem tersebut hanya dipasang di Hutan Paya Gambut Hutan Simpan Raja Musa.

“Sekiranya sistem ini boleh dipasang di semua hutan simpan paya gambut di negara ini, ia sangat baik bagi mengelakkan kebakaran berlaku.

“Hal ini kerana melalui sistem IoT, pihak bertanggungjawab boleh memantau keberangkalian tanah gambut terbakar dan mengambil tindakan pantas mengatasinya,” ujarnya.

Selain itu, teknologi yang dibangunkan itu mesra kos kerana akses LoRA adalah percuma.

Pada masa sama, ia menawarkan proses pemantauan teliti dan nyata dari segi masa, keberkesanan dalam mengesan tahap pengeringan air yang terkandung di bawah tanah.

Tambahan pula, IoT sesuatu yang bermanfaat kerana ia dapat membantu sistem amaran kebakaran kepada komuniti setempat. Hal ini memandangkan IoT diintegrasikan bersama sistem lain seperti Fire Danger Rating System (FDRS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN